Kedah bina rumah transit perlindungan sementara

Mukhriz menandatangani plak perasmian Rumah Transit Negeri Kedah di sini hari ini.
Mukhriz menandatangani plak perasmian Rumah Transit Negeri Kedah di sini hari ini.
A
A
A

JITRA - Kerajaan Kedah membangunkan enam buah rumah transit di Taman Pulasan di sini sebagai pusat perlindungan sementara bagi golongan memerlukan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, setiap rumah berkenaan boleh didiami oleh kira-kira enam orang penghuni dalam satu-satu masa.

"Dengan adanya rumah ini sedikit sebanyak golongan memerlukan mempunyai tempat untuk berlindung. Mereka diberi tempoh maksimum dua minggu untuk tinggal di sini (rumah transit) sementara mendapat tempat yang lebih sesuai untuk mereka tinggal," katanya selepas ditemui di Majlis Perasmian Rumah Transit Negeri Kedah di sini hari ini.

Menurut Mukhriz, Majlis Kebajikan Negeri Kedah telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM150,000 setiap tahun bagi urusan pengendalian rumah tersebut.

"Walaupun rumah ini dibangunkan dalam daerah Kubang Pasu, namun ia boleh menampung keperluan seluruh penduduk di Kedah. Sekiranya keperluan di daerah lain meningkat, kita akan pertimbangkan untuk bangunkan rumah yang sama di daerah-daerah terlibat itu," katanya.

Dalam pada itu Mukhriz berkata, kemasukan penghuni ke rumah berkenaan bukanlah pula sewenang-wenangnya kerana ia perlu melalui prosedur Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terlebih dahulu.

"Mereka tidak boleh datang sendirian untuk mendaftar di sini (rumah transit) kerana JKM akan buat siasatan bagi melihat keperluan dia bagi mendapatkan perlindungan sementara di sini," katanya.

Turut hadir Timbalan Menteri Kewangan merangkap Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah dan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pembasmian Kemiskinan dan Kebajikan negeri, Halimaton Shaadiah Saad.

Artikel Berkaitan: