Maut ketika cuba petik rambutan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Mayat seorang lelaki ditemukan di bawah sebatang pokok rambutan dipercayai akibat terjatuh ketika cuba memetik buah tersebut dalam kejadian di Jalan Abdul Samad di sini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, mayat yang dipercayai sudah meninggal dunia dua hari lalu itu ditemui di bawah pokok berkenaan kira-kira jam 11.12 tengah hari, tadi.

Bagaimanapun katanya, identiti lelaki itu maish belum dapat disahkan kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui bersamanya.

"Mangsa dipercayai telah jatuh daripada pokok rambutan. Kita turut menemui selipar miliknya di pangkal pokok berkenaan.

"Kawasan itu juga merupakan tanah persendirian dan polis mengesyaki mangsa menceroboh untuk mengambil buah tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Shahurinain berkata, pihaknya juga menolak kejadian berkenaan ada kaitan dengan unsur jenayah kerana keadaan mayat mangsa yang ditemui tidak mempunyai sebarang kecederaan akibat senjata.

"Kita tidak nampak sebarang kecederaan atau senjata yang boleh melibatkan unsur jenayah pada tubuh badan si mati. Selain itu, pemeriksaan di kawasan sekitar juga hanya menemui sebuah beg kain yang berisi buah rambutan dan sebilah sabit.

"Jadi buat masa ini, kes hanya diklasifikasikan sebagai Mati Mengejut (SDR)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, mayat lelaki berkenaan telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat.