Hujahan ikat jamin LTTE seawal Jumaat ini

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini, akan menentukan keputusan ikat jamin membabitkan tiga tertuduh yang didakwa memberi sokongan kepada pertubuhan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) selepas hujahan duluan, seawal Jumaat ini.

Hakim Muhammad Jamil Hussin dan Hakim Collin Lawrence Sequerah menetapkan 23 Februari ini sebagai tarikh pendengaran hujahan masing-masing kepada peguam ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), P. Gunasekaran dan V. Suresh Kumar manakala seorang lagi hakim, Ahmad Shahrir Mohd Salleh menetapkan 24 Januari ini untuk Adun Gadek, G Saminathan.

Hujahan adalah bagi menentukan sama ada permohonan yang dibuat terikat dengan deklarasi hakim lain berkaitan percanggahan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Penggulungan itu akan dibuat berdasarkan kepada ketetapan yang menghalang mahkamah daripada mempertimbangkan permohonan ikat jamin bagi kedua-dua tertuduh berkenaan.

Begitu juga Hakim Mohamed Zaini Mazlan, yang menetapkan 29 Januari ini untuk menyampaikan penghakiman sama ada peruntukan itu dianggap tidak sah atau sebaliknya, membabitkan kes seorang lagi tertuduh, B Subramaniam.

Mohamed Zaini berkata, mahkamah tidak terikat dengan ketetapan dibuat hakim mahkamah tinggi lain berkenaan Seksyen 13 SOSMA.

Mereka membuat keputusan itu berikutan keputusan yang dibuat seorang lagi Hakim, Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang memutuskan seksyen berkenaan tidak sah kerana melanggar doktrin pemisahan kuasa di antara pihak eksekutif, badan kehakiman dan perundangan untuk mengambil alih kuasa mahkamah bagi membenarkan ikat jamin ke atas suspek kes berkaitan keganasan.

Peguam, Ramkarpal Singh yang mewakili Saminathan dan Gunasekaran bersama Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi perlu mengemukakan isu berkenaan pada tarikh yang diberi.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Jamil turut bertanya mengenai pendirian Peguam Negara, Tommy Thomas, mengenai seksyen 13 SOSMA kepada Muhammad Saifuddin.

Muhammad Saifuddin: ia selaras dengan ketetapan dibuat Hakim Mohd Nazlan, maka pihak pendakwaan tidak mengemukakan rayuan ke atasnya.

Jamil: Walaupun pendirian beliau (Tommy) mengenai seksyen 13 bercanggah dengan Perlembagaan, tetapi ia masih ada dan mahkamah mesti mengambil kira?

Saifuddin: Ya, seksyen 13 masih ada.

Jamil: Ada peruntukan yang menyatakan peruntukan tertentu, bertindih dengan peruntukan umum.

Jamil kemudiannya mengingatkan kedua-dua pihak, dalam isu keabsahan sesuatu undang-undang bertulis, keputusan sesuatu mahkamah tinggi tidak mengikat mahkamah lain kerana ia mempunyai bidang kuasa setara.

Katanya, mahkamah hanya terikat dengan keputusan dari mahkamah lebih tinggi seperti Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

"Sila hantar hujahan lebih lanjut mengenai isu ini untuk membantu saya, berdasarkan pengisytiharan (oleh mahkamah tinggi) yang tidak diketepikan atas rayuan di mahkamah tinggi yang lain," katanya.

Pada 31 Oktober tahun lalu, Gunasekaran didakwa memberi sokogan kepada kumpulan pengganas LTTE dengan menggunakan laman sosial Facebook atas nama ‘DAP Guna Palanisamy.

Tertuduh dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Pegawai Penyiasat Bahagian E8 (M) Kaunter Pengganas cawangan Khas Bukit Aman di sini, pada 7 dan 11 Oktober 2019 pada waktu berlainan iaitu 2 petang, 5.30 petang dan 6 petang.

Sementara Saminathan, didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dalam satu majlis di Dewan Kasturi Ayer Keroh, Taman Ayer Keroh Heights, pada jam 8.30 malam hingga 10.50 malam, 28 November 2018.

Saminathan turut didakwa dengan satu lagi pertuduhan memiliki item berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan LTTE di dalam sebuah telefon bimbit, di pejabat EXCO Perpaduan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna, Jabatan Ketua Menteri, Seri Negeri, pada jam 10.25 pagi, pada 10 Oktober lalu.

Kedua-dua tertuduh itu disiasat mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut peruntukan sama, iaitu penjara seumur hidup atau penjara maksimum 30 tahun atau denda, dan dirampas mana-mana harta yang digunakan atau niat digunakan, jika sabit kesalahan.