Bekas putera Iran ramal kejatuhan rejim

Reza Pahlavi. - Foto AFP
Reza Pahlavi. - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Pewaris kerajaan monarki Iran yang disingkirkan meramal rejim pimpinan Presiden, Hassan Rouhani akan tumbang dalam tempoh beberapa bulan lagi dan mendesak kuasa Barat tidak berunding mengenainya.

Reza Pahlavi berkata, protes antirejim yang tercetus pada November dan bulan ini selepas pihak berkuasa Iran tersilap menembak jatuh pesawat Ukraine, mengingatkannya kepada kebangkitan rakyat yang menyingkirkan ayahandanya pada awal 1979.

“Hanya tunggu masa untuk capai klimaks akhir. Saya rasa kita berada dalam mood itu,” kata bekas putera mahkota itu pada sidang media di Washington, Amerika Syarikat (AS) tempat tinggalnya selepas hidup dalam buangan.

“Sekarang adalah minggu atau bulan terakhir sebelum kejatuhan. Tidak jauh beza dengan tiga bulan pada 1978 sebelum revolusi,” katanya yang pernah berulang kali meramalkan kejatuhan rejim.

Pahlavi berkata, rakyat Iran sekarang boleh 'menghidu peluang untuk pertama kali dalam tempoh 40 tahun'.

Waris Takhta Merak berusia 59 tahun itu yang tidak pernah menjejak kaki di Iran sejak remaja berkata, terdapat bukti tiada lagi ketakutan wujud dalam kalangan penunjuk perasaan.

Dalam ucapannya di Institut Hudson, Pahlavi menyokong kempen 'tekanan maksimum' oleh Presiden AS, Donald Trump yang mahu mengasingkan rejim Iran menerusi sekatan ekonomi.

“Rakyat Iran faham bahawa rejim ini tidak boleh diubah dan perlu disingkirkan,” katanya. - AFP

Artikel Berkaitan: