Kenali Ibnu Bajjah, pencetus asal konsep masyarakat madani

IBNU BAJJAH seorang tokoh Islam telah dikurniakan ALLAH dengan ilmu logik yang sangat hebat.
IBNU BAJJAH seorang tokoh Islam telah dikurniakan ALLAH dengan ilmu logik yang sangat hebat.
A
A
A

DALAM kalangan umat Islam seantero dunia, nama Ibnu Bajjah tidak asing lagi. Masakan tidak, kelahiran tokoh hebat itu membawa seribu rahmat kepada kita lantaran kebolehannya menguasai pelbagai ilmu pengetahuan.

Beliau bukan sahaja bergelar ahli astronomi, pemuzik, doktor, ahli fizik malah figura itu terkenal sebagai ahli psikologi, penyair, ahli falsafah, logik dan matematik termasuk seorang ahli hafiz al-Quran.

Kemasyhurannya itu terserlah pada pemerintahan Islam di Sepanyol yang juga dikenali sebagai Andalusia.

Apabila diselak kembali lembaran historiografinya, ternyata ia begitu menarik untuk disingkap dan diinsafi.

Sesungguhnya, Ibu Bajjah atau nama sebenarnya Abu Bakar Muhammad Ibn Yahya al-Saigh al-Tujibi al-Andalusi al-Samqusti bukan calang-calang individu apabila dikatakan turut dikenali oleh dunia Barat apabila mereka memanggilnya sebagai Avempace.

Menurut riwayat yang masyhur, Ibnu Bajjah dilahirkan di Saragossa (kini dikenali sebagai Zaragoza, Sepanyol) pada tahun 1082 Masihi. Beliau berasal daripada keluarga al-Tujib yang bekerja sebagai pedagang emas.

Darjah kemasyhuran Ibnu Bajjah memang tidak dapat disangkal lagi. Beliau mula menyinar sebaik melibatkan diri dalam bidang politik bermula di tempat kelahirannya sendiri di Saragossa selepas menjadi penyair bagi pihak al-Murabithun yang dipimpin Abu Bkr Ibn Tafalwit. Langkahnya semakin panjang apabila diberi kepercayaan penuh menjawat jawatan sebagai menteri ketika di bawah pemerintahan Abu Bkr.

Tatkala Saragossa ditakluk oleh pemerintah Raja Alfonso yang berasal dari Aragon, Ibnu Bajjah mengambil keputusan nekad untuk berpindah ke Seville.

Artikel Berkaitan:

Setaraf al-Farabi, Aristotle

Dalam perjalanannya ke sana, beliau sempat singgah di Valencia. Siapa sangka di situ bakat Ibnu Bajjah dalam bidang kedoktoran begitu menonjol. Berdasarkan beberapa penulisan, beliau telah menyumbang khidmat sebagai doktor di sana dan banyak menulis tentang ilmu logik.

Bagi sarjana Islam itu, sesuatu yang dianggap wujud benar-benar wujud atau tidak bergantung kepada apa yang dipercayai ada atau hanyalah satu kemungkinan. Namun, hakikatnya banyak perkara di dunia yang tidak dapat dihuraikan menggunakan logik.



KETOKOHAN Ibnu Bajjah sebagai ahli politik dan pemimpin begitu terserlah apabila beliau pernah dilantik sebagai menteri.
KETOKOHAN Ibnu Bajjah sebagai ahli politik dan pemimpin begitu terserlah apabila beliau pernah dilantik sebagai menteri.

Menyedari hakikat berkenaan, figura hebat itu terus menggali dan mempelajari ilmu-ilmu lain untuk membantunya memahami ilmu metafizik seperti sains dan fizik.

Dalam bidang falsafah, nama Ibnu Bajjah sebenarnya boleh diletakkan setaraf dengan al-Farabi dan Aristotle. Beliau turut mengemukakan gagasan falsafah ketuhanan yang menetapkan bahawa manusia boleh berhubung dengan akal fa'al menerusi perantaraan ilmu pengetahuan dan pembangunan potensi manusia.

Ternyata kemampuannya menguasai variasi cabang ilmu menjadikannya seorang sarjana teragung pada zamannya. Bahkan, sebahagian falsafah dibawakannya jelas mendahului zamannya. Salah satunya (falsafah) beliau yang terkenal merujuk kepada 'ungkapan manusia sebagai makhluk sosial'.

Pandangan tersebut difahamkan dilontarkan beliau sebelum sarjana Barat berbuat demikian. Selain itu, Ibnu Bajjah juga berjaya menghuraikan konsep masyarakat madani dalam hasil tulisannya pada abad ke-11.

Seperti sudah resam seorang ilmuan, kembara dari satu destinasi, begitu juga sosok kepada penulis karya Risalah Tadbir al-Mutawahhid itu. Beliau telah menjejakkan kaki ke Granada, Afrika Utara dan Maghribi yang mana dirinya sekali lagi beliau dilantik sebagai menteri dalam jangka waktu yang panjang di negara itu.

Ibu Bajjah merentas pengakhiran yang cukup memilukan. Ketika beliau diberi penghormatan oleh golongan al-Murabithun, perasaan hasad dengki mula menjalar dalam kalangan orang tertentu.

Natijahnya, tokoh yang disayangi ramai itu didakwa diracun. Beliau meninggal dunia pada tahun 1138 Masihi dan disemadikan di Fez, Maghribi. Hasil pembacaan, ketika perginya beliau, usianya masih muda.

PROFIL

Nama: Abu Bakar Muhammad Ibn Yahya al-Saigh al-Tujibi al-Andalusi al-Samqusti

Gelaran: Ibnu Bajjah

Kepakaran: Politik, ahli astronomi, pemuzik, doktor, ahli fizik, ahli psikologi, penyair, ahli falsafah, logik dan matematik.

Tahun kelahiran: 1082 Masihi

Tahun kematian: 1138 Masihi

Karya agung:

- Menghasilkan lebih kurang 31 karya dalam pelbagai bidang.

- Ia ditulis Ibnu Bajjah dalam bahasa Arab sebelum diterjemahkan ke dalam bahasa Hebrew dan Latin.

- Antara karyanya yang signifikan ialah Risalah al-Wida' (tentang ketuhanan, kewujudan manusia, alam dan huraian tentang kedoktoran dan perubatan), Risalah Tadbir al-Mutawahhid (bidang politik dan falsafah), Risalah al-Ittisal al-'Aql Bi al-Insan (perhubungan akal dengan manusia) dan Kitab al-Nafs (persoalan tentang jiwa manusia dengan Tuhan).

Sumbangan:

- Mengemukakan falsafah ketuhanan yang menetapkan bahawa manusia boleh berhubung dengan akal fa'al menerusi perantaraan ilmu pengetahuan dan pembangunan potensi manusia.

- Memperkenalkan ungkapan manusia sebagai makhluk sosial dan konsep masyarakat madani.