Op Naga Barat berjaya tahan 124 vesel bernilai RM154 juta

Zulkarnain (tiga dari kiri) bersama agensi kerajaan yang lain meraikan kejayaan Op Naga Barat.
Zulkarnain (tiga dari kiri) bersama agensi kerajaan yang lain meraikan kejayaan Op Naga Barat.
A
A
A

PASIR PUTEH - Op Naga Barat yang dilaksanakan sejak 2 Mei hingga 31 Disember lalu berjaya menahan 124 vesel melibatkan nilai sebanyak RM154 juta.

Operasi yang menggabungkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) itu berperanan membanteras pencerobohan bot nelayan asing dan penguatkuasaan undang-undang di perairan negara.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim, Laksamana Muda Maritim Datuk Zulkarnain Mohd Omar berkata, kes melibatkan tangkapan bot nelayan asing bernilai RM133.5 juta, bot nelayan tempatan RM16.5 juta dan kapal kargo RM4 juta.

"Dari segi tangkapan pula 89 daripadanya melibatkan bot nelayan asing Vietnam dan 35 nelayan tempatan dengan pelbagai kesalahan," katanya.

Menurutnya, ia melibatkan tangkapan seramai 1,187 orang kena tuduh (OKT) iaitu Vietnam (1,033), Thailand (44), Myanmar (32), Kemboja (20) dan 58 penduduk tempatan.

Beliau berkata, Op Naga Barat berjaya menyelamatkan hasil laut negara dan membela nasib nelayan tempatan.

Zulkarnain berkata, ia menunjukkan penggabungan kementerian dan agensi kerajaan ini telah mencapai satu kejayaan demi menyelamatkan perairan negara.

"Pendekatan yang dibuat ini bagi memastikan aktiviti jenayah rentas sempadan yang biasanya didalangi kumpulan sindiket tertentu akan dapat dibanteras sehingga ke akar umbi," katanya.

Artikel Berkaitan: