X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 02 Julai 2022

Pelihara adab menerima tamu, ketahui peranan sebagai tetamu

A
A

ERA moden yang sedang dilalui kini bukan alasan manusia mengetepikan adab dan nilai dalam apa juga keadaan sekalipun termasuk dalam mengeratkan perhubungan. Meskipun, medium sosial berupaya merentasi seluruh pelosok dunia, namun hakikatnya ia telah banyak membataskan pergerakan manusia.

Itu sebab, Islam terus menggalakkan agar amalan ziarah-menziarahi tetap perlu dihidupkan. Sememangnya, menjaga silaturahim bukan suatu perkara kecil kerana nilainya begitu besar di sisi agama.

Dalam memperkatakan hal tersebut, Rasulullah SAW pernah menjanjikan ganjaran syurga kepada sesiapa yang memelihara silaturahim dan memberikan amaran keras kepada sesiapa yang memutuskannya.

Abu Ayub al-Ansari meriwayatkan, ada seseorang pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, beritahu kepadaku tentang sesuatu yang boleh memasukkan aku ke dalam syurga dan menjauhkan aku dari neraka.”

Rasulullah berkata: “Sungguh dia telah diberi taufik” atau “Sungguh telah diberi hidayah, apa tadi yang engkau katakan?"

Individu itu mengulangi pertanyaannya. Kemudian baginda SAW menjawab: “Engkau beribadah kepada ALLAH dan tidak menyekutukan-NYA dengan sesuatu pun, mendirikan solat, membayar zakat dan engkau menyambung silaturahim.”

Setelah individu berkenaan pergi, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Jika dia melaksanakan apa yang aku perintahkan tadi, pastilah dia masuk syurga.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Jelas, dengan amalan berziarah, hubungan silaturahim dapat ditaut. Bukan itu sahaja, kemesraan dapat dijalin, terzahir sikap prihatin dan dapat menghilangkan prasangka buruk. Sama ada kita yang bertindak sebagai tetamu atau kita yang diziarahi (menjadi tuan rumah), kedua-duanya akan memperoleh nikmat.

Oleh itu, sebagai tetamu atau tuan rumah, terdapat adab-adab yang Islam tetapkan sebagai panduan. Hal itu supaya amalan ziarah boleh menjadi pembuka pintu syurga.

Sebagai tuan rumah, memuliakan tetamu merupakan akhlak yang terpuji seperti yang selalu diterapkan para nabi. Contohnya, kisah Nabi Ibrahim AS yang memuliakan tetamu disebut dalam Surah al-Dzariyat, ayat 24-27.

Sheikh Amin al-Syanqiti menyebut, ada beberapa pengajaran boleh diambil daripada kalam ALLAH itu. Antaranya, segera menghidangkan makanan dan minuman untuk tetamu, menyediakan hidangan terbaik yang ada di dalam rumah, mendekatkan makanan kepada tetamu dan bercakap dengan lemah lembut dengan tetamu. (Rujuk Adhwa’ al-Bayan fi Idhoh al-Quran bi al-Quran (2/297).

Keberkatan

Betapa sikap memuliakan tetamu sangat dituntut oleh Islam sehinggakan Nabi Muhammad SAW mengaitkan sifat itu dengan nilai iman.

MULIAKAN tetamu yang bertandang ke rumah kita dengan menghidangkan makanan yang terbaik yang ada di dalam rumah dan bercakaplah dengan nada lemah lembut.
MULIAKAN tetamu yang bertandang ke rumah kita dengan menghidangkan makanan yang terbaik yang ada di dalam rumah dan bercakaplah dengan nada lemah lembut.

Sabda baginda SAW: “Sesiapa yang beriman dengan ALLAH dan hari akhirat, maka jangan sakiti jirannya. Sesiapa yang beriman dengan ALLAH dan hari akhirat, maka muliakanlah tetamunya. Juga sesiapa yang beriman dengan ALLAH dan hari akhirat, maka berkatalah dengan perkataan yang baik atau hendaklah dia diam.” (Riwayat al-Bukhari)

Oleh itu, apabila ada tetamu yang datang menziarahi kita, bersyukur dan bergembiralah. Lihatlah itu sebagai peluang untuk kita tambahkan pahala. Sambut mereka dengan hati terbuka dan layan dengan sebaiknya mengikut kadar kemampuan kita.

Bagaimana pula jika tetamu yang datang bertindak dengan sesuatu yang tidak menyenangkan hati tuan rumah? Dalam situasi sebegitu, selaku tuan rumah, kita kena sentiasa menanamkan ingatan bahawa tetamu datang membawa keberkatan.

Jika perlu ditegur, gunakanlah kebijaksanaan kita. Jangan sampai, pendekatan atau mimik muka kita boleh membuatkan tetamu terasa hati. Sebagai contoh, jika ada ahli keluarga tetamu kita dalam kalangan orang kurang upaya, semestinya kemampuan dan tingkah laku mereka berbeza. Anak-anak yang autisme pula, kemungkinan pergerakannya terlebih aktif.

Selaku tuan rumah, kita perlu ada sifat empati dan memahami keadaan tersebut. Jika sudah maklum tentang latar belakang tetamu dan ahli keluarganya yang mempunyai kekurangan, tidak salah kita menyimpan dulu barang-barang yang berisiko senang rosak, kunci bilik-bilik tertentu atau sediakan satu sudut khas untuk kanak-kanak itu bermain.

Sesungguhnya, ibu bapa atau keluarga berkenaan tidak meminta untuk dikurniakan anak-anak atau adik-beradik sedemikian rupa. Mereka ialah insan terpilih yang diberi amanah yang mulia itu. Sebagai tuan rumah juga, elakkan untuk membuatkan tetamu rasa seperti tidak dilayan.

Kepada tetamu yang ingin bertamu ke rumah orang lain juga, perlu mengikut adab-adab yang perlu diraikan.

Antaranya ialah:

1) Memilih waktu yang sesuai untuk ziarah. Elakkan bertandang pada waktu yang kebiasaannya orang belum bersedia ataupun masa untuk berehat dan tidur. Seeloknya hubungi terlebih dahulu untuk dapatkan persetujuan supaya tetamu dan tuan rumah berada dalam keadaan yang selesa.

2) Jika ada buah tangan sebagai hadiah kepada tuan rumah, itu lebih baik. Perlakuan tersebut boleh menyuburkan lagi rasa kasih dan sayang.

3) Menjamah hidangan yang dijamu oleh tuan rumah. Kalaulah hidangan tersebut tidak menepati selera kita, jangan sama sekali bercakap tentang makanan tersebut tidak sedap atau sebagainya yang mungkin boleh mengguris hati tuan rumah.

4) Mendoakan tuan rumah.

5) Tidak singgah atau tinggal terlalu lama sehingga menyebabkan tuan rumah tidak selesa dengan kehadiran tetamu atau dikhuatiri mengganggu perancangan awal tuan rumah.

6) Jika ada dalam kalangan ahli keluarga kita terdiri dalam golongan OKU, maka seeloknya dimaklumkan terlebih dahulu agar tuan rumah dapat memahami. Mohon maaf sejak dari awal lagi sekiranya kehadiran kita bersamanya boleh mengganggu tuan rumah.

Justeru, sama ada kita menjadi tetamu atau menerima tetamu, masing-masing kena saling memahami dan meraikan adab-adab yang dianjurkan.

Ingatlah, amalan ziarah-menziarahi akan menjadi satu budaya indah yang menghiasi kehidupan sesebuah masyarakat. Bahkan, amalan itu boleh menjadi menjadi asbab untuk manusia mengecap nikmat syurga.

***Ustaz Abd Razak Muthalib merupakan Perunding Latihan dan Motivasi, Akademi Magnet Sukses.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!