Lang Merah lebih agresif musim 2019

Aidil Sharin (dua, kanan) memerhati corak permainan pemain muda, Mohd Fayadh Zulkifli Amin yang diserapkan dari Skuad Piala Presiden ke Liga Super Kedah musim 2019 pada sesi latihan baru-baru ini. Foto: AHMAD ZAKI OSMAN
Aidil Sharin (dua, kanan) memerhati corak permainan pemain muda, Mohd Fayadh Zulkifli Amin yang diserapkan dari Skuad Piala Presiden ke Liga Super Kedah musim 2019 pada sesi latihan baru-baru ini. Foto: AHMAD ZAKI OSMAN
A
A
A

SINTOK - Lang Merah membayangkan pasukan tersebut akan menggunakan corak permainan lebih agresif secara menyerang untuk memberikan cabaran kepada pasukan lain di Liga Malaysia musim 2019.

Ketua jurulatihnya, Aidil Shahrin Sahak berkata, falsafah beliau adalah mudah iaitu mencari gol untuk memenangi setiap perlawanan.

Menurutnya, pada aksi persahabatan menyaksikan Kedah menang 4-1 ke atas Kelantan di Stadium Universiti Utara Malaysia (UUM) semalam, tekanan tinggi diberikan oleh pemainnya pada separuh masa pertama melalui serangan yang bertali-arus.

"Falsafah saya adalah mudah iaitu sukakan corak permainan menyerang dan kamu boleh lihat rekod saya sebelum ini seperti di saingan Piala AFC bersama Home United. Paling penting adalah menjaringkan gol. Jika tidak mencari gol anda tidak akan menang dan saya suka pemain menyerang.

"Sejak saya secara rasmi mengendalikan pasukan ini bermula 1 Januari, Alhamdulilah pemain dapat menerima corak, falsafah dan apa yang barisan jurulatih mahukan terutamanya pada perlawanan ini walaupun ada pemain baru sahaja bersama pasukan beberapa hari," katanya pada sidang media di Pusat Sukan UUM, dekat sini.

Ditanya tentang pandangan penyokong melihat falsafah Aidil Shahrin yang hampir sama dengan jurulatih idolanya iaitu Pep Guordila di Manchester City, sambil tersenyum beliau menghargai kata-kata itu.

"Saya rasa diberi penghormatan mendengar pandangan tersebut namun semua itu sebenarnya akan kembali berbalik kepada pemain jika mereka bekerja keras kerana jurulatih hanya memberikan arahan dan panduan kira-kira 50 peratus sahaja dan selebihnya adalah komitmen yang diberikan oleh pemain adalah paling utama," katanya.

Jelasnya, beliau belum mempunyai senarai kesebelasan utama setakat ini namun mengakui setiap pemain menunjukkan prestasi yang baik dan mahu menjadi yang terbaik.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, perkembangan tersebut adalah satu persaingan yang sihat malah ada pemain muda juga berusaha memberikan yang terbaik merebut kesebelan utama.

"Saya sukakan pemain muda dan peluang akan datang untuk mereka, semua itu akan bergantung kepada kerja keras mereka sendiri.

"Kedah mempunyai ramai pemain muda yang berbakat dan mereka perlu lebih banyak bersama pasukan utama untuk mendapatkan pengalaman dari pemain import untuk mereka boleh cepat belajar," katanya lagi.

Aidil Shahrin berkata, contoh terdekat yang ada di dalam Kedah sekarang adalah Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali yang sebelum ini banyak diberi peluang bersama pasukan utama pada usia muda.