Pas desak ambil tindakan tegas

Mohd Nasaruddin (tengah) dan wakil Pas Negeri Sembilan lain menunjukkan laporan polis dibuat di IPD Seremban.
A
A

SEREMBAN - Pas Negeri Sembilan mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy kerana menyebarkan kenyataan palsu dan fitnah terhadap negara.

Ketua Penerangannya, Mohd Nasaruddin Baharuddin berkata, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga perlu memecat Menteri Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial itu yang sudah khianati negara.

“Dia menteri perpaduan, tapi sekarang memecahbelahkan rakyat dengan kenyataannya dan merosakkan sosial kontrak yang sedia ada terjalin sejak puluhan tahun di negara ini.

“Bukan saja Melayu, tapi semua kaum yang prihatin pada keamanan rasa terjejas dan jika tidak diambil tindakan akan berlaku perkara tak diingini,” katanya pada sidang media selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban semalam.

Menurutnya, kenyataan yang dibuat oleh pemimpin itu sangat bahaya kerana telah mengundang rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, pihaknya menjangkakan seramai 400 ahli Pas akan turun pada perhimpunan membantah cadangan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di Masjid Negeri hari ini.

“Kami, Pas, Umno dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hanya buat perhimpunan aman dan menyerahkan memorandum kepada menteri besar.

“Kami akan mengikut peraturan ditetapkan. Jadi saya tak rasa ia mengundang masalah,” katanya.

Sementara itu, ditanya berkenaan PRK Dun Rantau, Mohd Nasaruddin berkata, seperti yang telah diputuskan oleh pimpinan tertinggi Pas, mereka akan memberi sokongan sepenuhnya terhadap calon Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Kita hanya menunggu arahan daripada pusat untuk gerakkan jentera pada bila-bila masa,” katanya.

Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia