PNB umum pasukan kepimpinan baharu

Dr Zeti Akhtar
Dr Zeti Akhtar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan barisan kepimpinan baharunya serta persaraan Timbalan Presiden, Pelaburan Strategik dan pelantikan Ketua Perbendaharaan Kumpulan yang baharu.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dalam satu kenyataan hari ini berkata, pasukan baharu itu terdiri daripada 16 anggota pengurusan kanan yang masing-masing mengetuai fungsi perniagaan teras dalam PNB.

Antara mereka ialah Datuk Mohd Nizam Zainordin yang dilantik sebagai Timbalan Presiden dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Hanizan Hood sebagai Ketua Pegawai Pelaburan (Pasaran Awam) dan Mohammad Hussin sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Amanah Saham Nasional Bhd.

Mohamad Idros Mosin pula dilantik sebagai Ketua Kumpulan Pelaburan Strategik.

Turut menyertai pasukan itu ialah Hafizuddin Sulaiman sebagai Ketua Kumpulan Bahagian Perbendaharaan yang baru diwujudkan, bertanggungjawab ke atas pengurusan modal dan kecairan keseluruhan perniagaan, termasuk pengurusan dana dan liabiliti.

"Fungsi baharu itu diwujudkan sejajar dengan strategi pelbagai portfolio keseluruhan PNB, termasuk meningkatkan pendedahan pelaburan global," katanya.

Hafizuddin membawa pengalaman luasnya dalam bidang pengumpulan dana dan pelaporan kewangan semasa berkhidmat di Khazanah Nasional Bhd dan Ernst & Young Kuala Lumpur.

"Dengan harapan untuk memantapkan keupayaan PNB dalam memberikan pulangan mampan kepada pemegang unit, perubahan ini akan membolehkan kami mengukuhkan susunan kerja yang lebih kolaboratif di setiap lapisan organisasi, yang sekali gus membolehkan proses pembuat keputusan yang lebih berkesan tanpa menjejaskan aspek tadbir urus.

Artikel Berkaitan:

"Pada masa yang sama, perubahan yang berlaku ini akan membolehkan kami mengembangkan bakat bagi melaksanakan Rancangan Strategik, dengan visi untuk menjadi firma pelaburan bertaraf dunia tersendiri," kata Zeti.

Sementara itu, Timbalan Presiden Pelaburan Strategik PNB, Datin Paduka Kartini Abdul Manaf bersara selepas 36 tahun berkhidmat, berkuat kuasa 1 Januari 2020.

Dengan persaraannya, Bahagian Pelaburan Strategik dan Pasaran Persendirian yang berada dalam bidang kuasa beliau sebelum ini, kini melapor terus kepada Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan, Jalil Rasheed.

"Kartini merupakan ahli utama pasukan pengurusan kanan PNB, memacu penggabungan dan pengambilalihan utama PNB.

"Beliau memain peranan penting dalam memupuk hubungan kukuh dengan syarikat pelaburan PNB," kata Zeti. - Bernama