Terjun dalam semak elak ditahan Imigresen

Anggota Imigresen sedang melakukan pemeriksaan lanjut ke atas lima daripada warga asing yang ditahan di lokasi. Foto: Ihsan Imigresen Terengganu
Anggota Imigresen sedang melakukan pemeriksaan lanjut ke atas lima daripada warga asing yang ditahan di lokasi. Foto: Ihsan Imigresen Terengganu
A
A
A

KEMAMAN - Dua wanita warga Indonesia lari lintang pukang sebelum nekad terjun ke dalam semak setinggi hampir lima meter bagi mengelak ditahan Jabatan Imigresen Terengganu selepas rumah sewa mereka di Kampung Gong Limau, Chukai, di sini diserbu pagi kelmarin.

Bagaimanapun, usaha wanita berusia 18 dan 25 tahun itu untuk meloloskan diri gagal selepas ditahan pihak penguatkuasa dalam serbuan jam 1.30 pagi.

Kesemua mereka didapati tinggal lebih masa di negara ini dan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.

Anggota Imigresen sedang melakukan pemeriksaan lanjut ke atas lima daripada warga asing yang ditahan di lokasi. Foto: Ihsan Imigresen Terengganu
Anggota Imigresen sedang melakukan pemeriksaan lanjut ke atas lima daripada warga asing yang ditahan di lokasi. Foto: Ihsan Imigresen Terengganu

Timbalan Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Terengganu, Malik Zaliman Deraman berkata, lima lelaki warga Indonesia berusia antara 18 hingga 31 tahun turut ditahan dalam serbuan itu selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.

Malik Zaliman berkata, operasi sempena Ops Bersepadu (ops belanja/kutip/sapu) melibatkan sepasukan 19 anggota dan pegawai Imigresen diketuai Ketua Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Imigresen Malaysia Terengganu, Mohd Muda.

Menurutnya, dalam operasi yang dijalankan serentak di tiga daerah termasuk Kemaman, Kuala Terengganu dan Dungun, seramai 46 warga asing diperiksa.

"Daripada jumlah itu, seramai 18 ditahan termasuk 10 lelaki dan enam wanita warga Indonesia serta dua lelaki warga Pakistan selepas dikesan melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.

"Pemeriksaan selanjutnya mendapati sembilan daripada mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 kerana tinggal lebih masa.

Artikel Berkaitan:

"Sembilan lagi melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) akta sama kerana tiada dokumen sah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Katanya, semua yang ditahan dihantar ke Depot Imigresn, Ajil, Hulu Terengganu untuk siasatan lanjut.