X

Kindly register in order to view this article
!

Hamidin (tengah) pada sidang media berkenaan di sini hari ini
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menolak tanggapan segelintir peminat bola sepak tanah air yang menyifatkan badan induk terbabit tidak berlaku adil serta tegas terhadap pasukan yang terpalit masalah seperti isu tunggakan gaji.

Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, secara dasarnya, FAM sentiasa mengambil serius terhadap semua aspek perundangan namun kesemua itu perlu dilakukan dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) terlebih dahulu.

Katanya, sebarang tindakan yang mahu diambil juga tidak boleh terus dihambur tanpa usul periksa kerana kepentingan semua pihak melibatkan pasukan, pemain mahupun penyokong sendiri perlu diambil kira.

“Kita tidak boleh memotong atau menyingkirkan mana-mana pasukan tanpa mengikut SOP yang dibenarkan. Ini pematuhan dari Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

“Apabila pelesenan kelab memberi lesen kepada setiap pasukan pada musim 2020 mengikut prosedur FAM dan pelesenan kelab yang sama dengan AFC dan FIFA perlu mengikut pembayaran gaji sehingga 30 Jun depan atau enam bulan ke bawah.

"Tetapi Pelesenan Kelab FAM (FIB) ada kuasa selepas bermulanya saingan Liga Malaysia (Liga M) dan jika ada pasukan yang masih belum membayar gaji pada bulan Julai ke bulan Ogos ke... maka baru tindakan boleh dikenakan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hamidin berkata, SOP yang dimaksudkan juga membolehkan FAM mahupun Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak yang didapati bersalah serta tidak menyelesaikan masalah dalam tempoh masa ditetapkan.

Katanya, dengan cara itu, pasukan atau kelab mempunyai masa untuk menyelesaikan permasalahan yang dialami sekali gus tidak terbeban dengan tindakan dibuat secara drastik atau tiba-tiba.

“Saya ambil contoh pasukan Melaka United (MU) membayar gaji sehingga lesen diberikan dan dijangka akan selesai pada 30 Jun ini, saya juga difahamkan tunggakan gaji hampir selesai. Bagaimanapun pihak sekretariat FAM dan MFL akan melihat dokumen rasmi dahulu bukan sekadar cakap kosong daripada MU.

“Saya berjanji jika ada pasukan yang masih berdegil maka mereka akan dikeluarkan daripada saingan Liga M. Itu janji saya. Sebagai badan pentadbir bola sepak kita mesti perlu adil kepada semua pihak iaitu kepada pemain, kelab dan juga peminat bola sepak," katanya.

Terdahulu, media melaporkan Setiausaha Agong FAM, Stuart Ramalingam memaklumkan tiga pasukan Liga M diberikan tempoh hingga 31 Januari ini untuk menyelesaikan tunggakan gaji atau membuat persetujuan bersama pemain mengenai kaedah bayaran yang akan digunakan.

Katanya, jika gagal berbuat demikian, pasukan terbabit akan dikenakan hukuman pemotongan tiga mata bagi Liga M musim ini.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus