Tambah baik keperluan JSJ, JSJN, cawangan khas

Kamal Affandi
Kamal Affandi
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa memberi perhatian terhadap penambahbaikan keperluan pegawai serta anggota polis di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) serta cawangan khas.

Justeru, kerajaan dicadangkan agar membahaskan perkara tersebut pada sidang Parlimen akan datang bagi meluluskan peruntukkan untuk peralatan, logistik, latihan dan perlindungan insurans anggota polis terbabit.

Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata, saranan itu susulan daripada kejayaan pihak polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM144.9 juta dalam serbuan di Selangor dan Kuala Lumpur, semalam serta kelmarin.

“Pintasan yang dilakukan pihak polis terhadap ekologi dan strategi pengedaran dadah nampaknya berhasil. Oleh kerana itu ada keperluan bagi kerajaan untuk menambah baik peralatan, logistik dan juga ganjaran terhadap JSJN.

“Ini kerana sindiket pengedaran dadah akan menukar taktik dari semasa ke semasa selepas mendapati kecekapan polis di peringkat yang tinggi. Ini kita tidak boleh nafikan,” katanya kepada Sinar Harian.

Polis merampas dadah berjumlah RM144.9 juta dalam operasi di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor kelmarin. - Foto Zahid Izzani
Polis merampas dadah berjumlah RM144.9 juta dalam operasi di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor kelmarin. - Foto Zahid Izzani

Kamal Affandi berkata, peralatan lebih canggih akan menambah keberkesanan pihak polis dalam melakukan pintasan terhadap sindiket pengedaran dadah.

"Pada masa sama kerajaan perlu menyediakan peruntukan bagi membiayai perlindungan insurans kepada anggota polis.

Artikel Berkaitan:

“Bahaskan di sidang Parlimen dan sediakan bajet untuk menghantar anggota polis di cawangan tersebut menjalani latihan khusus di luar negara,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador memaklumkan mengenai kejayaan pihak polis merampas dadah bernilai RM144.9 juta yang boleh dibekalkan kepada 6.5 juta pengguna.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis rampas dadah RM144.9 juta

Katanya, siasatan percaya sindiket terbabit aktif sejak setahun lalu dan turut menyeludup dadah ke negara luar.

Selain itu, pihak JSJN akan mengadakan pertemuan dengan 116 syarikat kurier seluruh negara bagi mengatasi kegiatan tersebut yang dikesan memanipulasi syarikat berkenaan untuk mengedar dadah.