Muktamadkan segera tarikh peralihan PM

Najwan Halimi
Najwan Halimi
A
A
A
SHAH ALAM - Jika Tun Dr Mahathir Mohamad boleh menetapkan tarikh peralihan kuasa Perdana Menteri kepada Tun Abdullah Badawi pada 2002, perkara sama perlu dilakukan sekarang dan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) wajar menetapkan satu tarikh khusus bagi peralihan kuasa jawatan itu dengan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Angkatan Keadilan Selangor, Najwan Halimi berkata, ia penting bagi menghentikan spekulasi dan desas-desus politik yang tidak sihat.

Menurutnya, keadaan sedemikian mengganggu urusan pentadbiran kerajaan dan mewujudkan suasana ketidaktentuan di kalangan pelabur.

"Ketika Dr Mahathir mengumumkan hasrat untuk melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 2002, pimpinan Barisan Nasional (BN) ketika itu meminta agar Dr Mahathir tidak berbuat demikian serta-merta.

"Sebaliknya mencadangkan supaya ditetapkan satu tarikh khusus bagi tujuan tersebut dan tarikh peralihan jawatan diputuskan pada 31 Oktober 2003.

"Sepanjang tempoh menanti tarikh peralihan kuasa, perjalanan pentadbiran negara berjalan seperti biasa tanpa sebarang masalah dan isu besar," katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu menurut Najwan, tiada sebab untuk Majlis Presiden PH tidak dapat menetapkan hal yang sama.

"Anwar berulang kali menegaskan bahawa beliau mahukan peralihan kuasa secara aman dan teratur.

"Muktamadkan segera tarikh peralihan kuasa agar semua pihak boleh terus bergerak ke depan untuk meneruskan khidmat dan tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat," katanya.
Artikel Berkaitan: