X

Kindly register in order to view this article
!

Saran Dr Mahathir baiki sistem pendidikan negara

Mohamed Faisal Hanafiah
A
A

KOTA BHARU - Seorang ahli akademik berpandangan, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad perlu membaiki kembali sistem pendidikan di negara ini khususnya di peringkat sekolah.

Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohamed Faisal Hanafiah berkata, Dr Mahathir perlu melihat kembali penerapan yang perlu ada dalam pendidikan di peringkat sekolah terutamanya melibatkan aspek perpaduan kaum dan integrasi.

"Mungkin sebelum ini kita sudah ada penerapan sebegitu namun masih perlu diperkemaskan lagi supaya maksud dan matlamat yang ditetapkan itu dapat dicapai dengan baik.

"Amat bertepatan sekali, Dr Mahathir kini memangku Menteri Pendidikan dan langkah inilah yang ditunggu semua pihak untuk membawa pendidikan yang merangkumi semua aspek di Malaysia," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Menurutnya, selain itu, kerajaan perlu mengkaji dan menyemak kembali program di universiti yang bersesuaian dengan 'industrial revolution 4.0' terutamanya dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu kini.

Beliau berkata, program yang ada perlulah mencerminkan keperluan industri, malah pengajian tinggi perlu menjadi 'kilang' industri baharu dengan penerokaan ilmu yang relevan masa kini.

"Pegawai di peringkat kementerian serta di institusi pengajian tinggi pula perlu lebih cakna dengan keperluan pendidikan selain mengetepikan ideologi politik masing-masing.

"Kita berharap apabila semuanya sudah dibaiki, maka ketika itulah Dr Mahathir boleh melantik menteri baharu bagi meneruskan apa yang telah dilaksanakan," katanya.