Remaja 18 tahun juruterbang paling muda di UK

Van Beek (kanan) bersama rakan sekerjanya dalam simulator penerbangan. -Foto SWNS
Van Beek (kanan) bersama rakan sekerjanya dalam simulator penerbangan. -Foto SWNS
A
A
A

ENGLAND - Pada usia 18 tahun, Seth Van Beek berjaya menamatkan latihan penerbangan dan kini bergelar juruterbang paling muda di United Kingdom (UK).

Van Beek menerima lesen untuk menerbangkan pesawat penumpang pada Oktober lalu selepas menghabiskan latihan selama hampir 18 bulan.

Bagi mencapai cita-cita itu, ibunya, Frances, 42, terpaksa menjual rumah untuk membiayai latihan anaknya.

Van Beek pula perlu berpindah ke Greece untuk menjalani kursus sekolah penerbangan bernilai 85,000 pound (RM451,000) dan melengkapkan 150 jam di udara sebelum memperoleh lesen.

Remaja dari barat laut London itu mula memasang impian untuk menjadi seorang juruterbang sejak berusia 8 tahun.

"Ibu saya seorang yang gemar melancong dan sejak saya kecil lagi dia sudah bawa kami melihat dunia.

"Saya suka apa sahaja tentang terbang. Saya selalu berasa lebih selamat di dalam pesawat berbanding menaiki bas atau memandu kereta," katanya.

Ketika berusia 16 tahun, dia menamatkan persekolahan selepas menduduki sijil pelajaran am menengah (GCSE) dan berjaya masuk ke Kolej Latihan Penerbangan Egnatia di Greece.

Artikel Berkaitan:

Pada April 2018, dia memulakan latihan 18 bulan di akademi itu, menduduki 14 peperiksaan dan belajar menerbangkan pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kavala.

Kini, Van Beek bersedia memulakan kerjayanya dan berharap untuk menerbangkan British Airways satu hari nanti. - Agensi