Bayar RM1,500, tapi tempah maut di lautan

Antara Pati yang ditahan menerusi Ops Pensura oleh PPM Pelabuhan Klang.
Antara Pati yang ditahan menerusi Ops Pensura oleh PPM Pelabuhan Klang.
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Langsung tidak memikirkan bahaya yang mungkin berlaku, malah sanggup bersesak dan duduk dalam keadaaan yang sempit semata-mata untuk pulang ke Indonesia secara haram.

Itu nasib pendatang asing tanpa izin (Pati) yang terpaksa membelanjakan wang sehingga RM1,500 seorang kepada sindiket untuk membawa mereka pulang.

Bagaimanapun, pergerakan Pati yang dibawa sindiket menaiki sebuah bot pom-pom itu berjaya dihidu Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang menerusi Ops Pensura kira-kira jam 12.30 tengah malam, semalam, di kawasan Laut Pintu Gedung, di sini.

Komander PPM Wilayah 1, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, bot pom-pom tidak berlampu itu dilihat dalam keadaaan mencurigakan di laluan tersebut yang didapati bergerak ke Indonesia.

“Anggota PPM telah mengejar bot yang dikemudi seorang lelaki bersama dua kru warga Indonesia itu sebelum menahan untuk pemeriksaan.

“Pemeriksaan mendapati terdapat 18 warga Indonesia termasuk empat wanita berusia lingkungan 19 hingga 58 tahun yang dipercayai ingin pulang ke negara mereka melalui jalan yang tidak sah,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata, semakan mendapati lapan orang Pati ini tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri, manakala selebihnya melakukan kesalahan tinggal lebih masa di negara ini.

Tambahnya, siasatan awal mendapati Pati ini membayar kepada sindiket sebanyak RM600 sehingga RM1,500 bergantung kepada jarak dari mana Pati ini datang.

Artikel Berkaitan:

“Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959 dan Seksyen 26 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007,” katanya.