Kimanis: Karim berjuang bersama Shafie tuntut hak Sabah

Karim (tiga dari kiri) bersama Presiden UPKO Datuk Seri Madius Tangau (tiga, kanan) serta pemimpin-pemimpin kanan UPKO mengangkat tangan bersama sebagai tanda kesepakatan dalam PRK pada Majlis Ramah Mesra dengan Ahli-ahli UPKO DUN Bongawan di Kampung Kinolonsodong hari ini.
PRK Kimanis pada Sabtu ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Karim dan Datuk Mohamad Alamin daripada Barisan Nasional. - Foto: Bernama
Karim (tiga dari kiri) bersama Presiden UPKO Datuk Seri Madius Tangau (tiga, kanan) serta pemimpin-pemimpin kanan UPKO mengangkat tangan bersama sebagai tanda kesepakatan dalam PRK pada Majlis Ramah Mesra dengan Ahli-ahli UPKO DUN Bongawan di Kampung Kinolonsodong hari ini. PRK Kimanis pada Sabtu ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Karim dan Datuk Mohamad Alamin daripada Barisan Nasional. - Foto: Bernama
A
A
A

KIMANIS - Calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Karim Bujang komited untuk meneruskan perjuangan menuntut hak Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) jika diberi mandat mewakili Parlimen Kimanis pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu Sabtu ini.

Karim berkata beliau akan berjuang bersama-sama Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan pemimpin kerajaan dari Sabah yang lain bagi memastikan hak-hak itu dapat dinikmati rakyat negeri ini dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Kami akan memperjuangkan hak-hak Sabah dan saya lihat kesungguhan ketua menteri (Mohd Shafie) dibantu oleh timbalan-timbalan ketua menteri (dalam merealisasikan perjanjian itu).

“Beliau (Mohd Shafie) yakin dan percaya, apa juga diminta (dalam MA63) adalah untuk kepentingan negeri ini dan anak-anak Sabah,” katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama ahli Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) kawasan Dewan Undangan Negeri Bongawan di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Wilfred Madius Tangau yang juga Presiden UPKO dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick merangkap Naib Presiden UPKO.

Karim berkata suara rakyat Sabah serta Sarawak semakin kedengaran berbanding di bawah kerajaan terdahulu, dan ini dapat dibuktikan apabila 17 daripada 20 perkara dalam MA63 telah dipersetujui menerusi kerajaan pada hari ini.

Beliau juga komited memastikan usaha kerajaan mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi sama rata dengan Semenanjung dapat direalisasikan demi kepentingan rakyat.

Karim berkata usaha mengembalikan status Sabah dan Sarawak hampir tercapai pada sidang Parlimen tahun lepas, namun ia tidak mendapat sokongan daripada ahli Parlimen UMNO dan PAS.

Artikel Berkaitan:

Pada April tahun lepas, Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan dibentangkan untuk bacaan kali kedua dalam usaha mengembalikan status Sabah dan Sarawak sepertimana termaktub dalam MA63, namun RUU itu gagal menerima undi dua pertiga atau 148 undi yang diperlukan.

Hanya 138 anggota Parlimen menyokong manakala 59 tidak mengundi.

“Matlamat dan perjuangan kerajaan hari ini jauh berbeza berbanding kerajaan terdahulu. Kita mahu tiga tahun akan datang berlaku perubahan besar,” kata Karim sambil meminta rakyat Kimanis menyokong Warisan kerana parti itu mempunyai keupayaan membawa perubahan tersebut.

PRK Kimanis menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Karim dan calon BN, Datuk Mohamad Alamin.- Bernama