Duta Britain tinggalkan Iran

Robert Macaire
Robert Macaire
A
A
A

LONDON - Duta Britain ke Iran dilapor telah meninggalkan Teheran untuk ke London, beberapa hari selepas penahanan sementaranya di tempat protes di ibu negara Ahad lalu.

Menurut laporan media Iran, keberangkatan Robert Macaire dimaklumkan dengan notis terlebih dahulu dan berdasarkan protokol diplomatik.

Hujung minggu lalu, Macaire ditahan selepas didapati berada di kawasan demonstrasi yang membantah insiden pesawat Ukraine yang ditembak jatuh.

Beliau bagaimanapun dilepaskan 15 minit kemudian.

Penahanannya mengejutkan banyak pihak dan mencetuskan kritikan daripada pegawai Iran serta kumpulan penunjuk perasaan yang berang dengan campur tangan duta asing dalam hal ehwal negara itu.

Keesokan harinya, Kementerian Luar Iran memanggil Macaire sebagai memprotes tingkah lakunya dengan alasan ia bertentangan dengan Konvensyen Vienna 1961 mengenai Hubungan Diplomatik.

Badan kehakiman Teheran merujuk Duta Britain itu sebagai persona non grata dan menggesa agar beliau diusir kerana kelakuannya yang tidak boleh diterima.

"Hakikat bahawa Macaire menghadiri perhimpunan haram, mengambil gambar dan video bantahan itu serta memainkan peranan provokatif sangat tidak boleh diterima," kata jurucakap kehakiman Iran, Gholamhossein Esmaeili.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, beberapa media memetik Pejabat Luar Negara Britain melaporkan perjalanan Macaire ke London adalah rutin dan ia dirancang sebelum penahanannya di Teheran. - Agensi