X

Kindly register in order to view this article
!

Kebakaran korban warga emas mungkin akibat colok: Bomba

A
A

KUANTAN - Kebakaran besar di pekan Sungai Lembing yang mengorbankan sepasang suami isteri warga emas pada 31 Ogos lepas dipercayai bermula dari tempat sembahyang rumah mangsa.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Nor Hisham Mohamad berkata, siasatan tidak menolak kemungkinan colok di tempat sembahyang itu sebagai punca berdasarkan kecepatan api merebak.

"Ini kerana api dilihat merebak secara perlahan berbanding kebakaran yang berpunca daripada litar pintas yang lebih cepat membakar sesebuah rumah.

"Ia menyebabkan mangsa yang tidur di dalam bilik tidak sedar kebakaran itu berlaku sehinggalah mereka merasakan bahang panas di sebalik dinding," katanya.

Nor Hisham berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis Pemakaian Tanda Pangkat Pegawai Bomba Kanan Peringkat Pahang di Ibu Pejabat JBPM di Indera Mahkota di sini hari ini, melibatkan 287 kakitangan JBPM Pahang.

Nor Hisham berkata siasatan forensik kebakaran juga menolak kemungkinan kebakaran berpunca dari dapur kerana tiada kesan aktiviti memasak dilihat berlaku di bahagian itu sebelum kejadian.

"Kita menganggarkan secara keseluruhan jumlah kerugian dialami dalam kebakaran terbabit ialah sebanyak RM2.812 juta dan nilai harta yang berjaya diselamatkan ialah RM6.5 juta," katanya.

Pada 31 Ogos lepas, Ho Yok Fun, 74, dan isterinya Chow Kim Mui, 70, disahkan maut dalam kebakaran yang difahamkan bermula pada 1.30 pagi, dipercayai selepas terperangkap di bahagian atas rumah kedai dua tingkat milik mereka.

Kebakaran itu secara keseluruhan memusnahkan 32 bangunan terdiri daripada 20 rumah kedai dua tingkat, 11 unit rumah setingkat dan sebuah perpustakaan yang melibatkan 53 orang mangsa daripada 29 keluarga.- Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!