X

Kindly register in order to view this article
!

Iran bakal saman Trump, tentera AS

Penunjuk perasaan Iran memegang sepanduk wajah Soleimani ketika berkumpul di hadapan Kedutaan Britain di Teheran hujung minggu lalu. - Foto AFP
A
A

TEHERAN - Iran akan memfailkan tindakan undang-undang terhadap Presiden Donald Trump dan kerajaan Amerika Syarikat (AS) atas pembunuhan komander Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC), Leftenan Jeneral Qasem Soleimani awal bulan ini.

Menurut laporan Tehran Times, jurucakap kehakiman Iran, Gholamhossein Esmaeili berkata, sebab paling kukuh untuk membuat tuduhan adalah kerana pengakuannya.

"Kami berhasrat memfailkan tuntutan mahkamah di Iran, Iraq dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) The Hague terhadap ketenteraan dan kerajaan Washington serta terhadap Trump.

"Tidak ada keraguan bahawa tentera AS telah melakukan perbuatan keganasan yang mengorbankan Soleimani dan komander Unit Mobilisasi Popular (PMU), Abu Mahdi Al-Muhandis. Trump juga telah mengaku melakukan perbuatan jenayah," katanya dalam satu sidang akhbar.

Menurutnya lagi, Iran akan tetap memfailkan tuntutan tersebut kerana ia sah di bawah Kanun Keseksaan Islam.

"Serangan balas Iran seterusnya adalah termasuk menghentikan kehadiran rakyat AS yang masuk secara haram ke negaranya.

"Musuh gemar mencipta krisis di rantau ini dan di Iran. Rancangan serta plot utama mereka adalah untuk mewujudkan pertelagahan dan kegilaan media," katanya.

Selain itu, kehadiran jutaan rakyat di pengebumian Soleimani juga adalah satu referendum besar.

"Kematian Soleimani adalah titik permulaan untuk pengakhiran kehadiran AS di dunia Islam. Kamu akan melihat ia berlaku tidak lama lagi," kata komander IRGC, Mejar Jeneral, Hossein Salami.

Setakat ini, Rumah Putih masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan balas.

Pada 3 Januari lalu, Soleimani dan Al-Muhandis bersama lapan yang lain terbunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad, Iraq dalam serangan udara yang didakwa diarahkan Trump.

Lima hari kemudian, IRGC melancarkan serangan balas dengan menyerang pangkalan udara Ain al-Assad dan Erbil di Iraq. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus