Pengasuh mengaku tak bersalah sebabkan cedera pada bayi

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pengasuh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan cuai mengasuh seorang bayi perempuan hingga menyebabkan kecederaan di muka dan tapak tangan akibat terkena susu panas.

Tertuduh, Sarijah Mansor, 49, didakwa melakukan kecederaan terhadap bayi berusia 6 bulan itu di Presint 11, Putrajaya antara 12 tengah hari dan 4 petang, 15 Februari tahun lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Annur Atiqah Abd Hadi menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh.

Tertuduh juga diperintahkan untuk menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di balai polis berdekatan dan dilarang mendekati mangsa serta keluarganya.

Sarijah yang tidak diwakili peguam merayu wang jaminan dikurangkan dengan alasan dia mempunyai empat orang anak dan suaminya yang bekerja sebagai pemandu bas berpendapatan RM1,500 sebulan.

“Saya tidak mampu membayar jaminan yang ditawarkan pendakwaan. Saya mohon tuan hakim mempertimbangkan rayuan saya,” katanya.

Hakim, M M Edwin Paramjothy kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan dilarang mendekati mangsa dan keluarganya.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah menetapkan 4 Februari depan untuk sebutan semula kes. - Bernama