Permohonan kebenaran merayu ibu mualaf bagi hak penjagaan anak ditolak

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan, di sini hari ini menolak permohonan seorang ibu yang memeluk Islam untuk kebenaran membuat rayuan terhadap perintah Mahkamah Rayuan memberikan hak penjagaan penuh kedua-dua anaknya kepada bekas suami beragama Buddha.

Panel tiga hakim yang terdiri daripada Datuk Mohd Zawawi Salleh, Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Hasnah Mohammed Hashim, sebulat suara menolak rayuan wanita itu dengan kos RM10,000.

Hakim Zawawi yang mengetuai panel itu berkata wanita itu gagal memenuhi keperluan asas di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Beliau berkata, tiga persoalan undang-undang yang dibangkitkan peguam wanita itu, Rohani Ibrahim adalah berkaitan fakta kes berkenaan.

Terdahulu, mahkamah yang sama membatalkan permohonan wanita itu untuk mengemukakan bukti baharu selepas beliau, melalui peguamnya menarik balik permohonan itu.

Mahkamah memerintahkan wanita itu membayar kos RM3,000.

Hakim, Zawawi berkata, permohonan wanita itu untuk mengemukakan bukti baharu adalah terlalu awal kerana beliau masih lagi belum memperoleh kebenaran untuk merayu dari Mahkamah Persekutuan.

Ibu berusia 43 tahun itu memeluk Islam pada Disember 2015 dan berjaya memperoleh penjagaan dua anaknya.

Artikel Berkaitan:

Pada 11 Mei 2016, kedua-dua anaknya yang ketika itu berusia 4 dan 8 tahun telah memeluk Islam tanpa pengetahuan dan kebenaran bapanya.

Bagaimanapun, pada 14 September 2018, Mahkamah Rayuan memberikan hak penjagaan penuh kepada si bapa, seorang ahli perniagaan berusia 47 tahun, selepas membenarkan rayuannya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang memberikan hak penjagaan kepada si ibu.

Rayuan wanita itu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 16 Oktober 2018 untuk membatalkan sijil perakuan agama Islam dua anaknya akan didengar di Mahkamah Rayuan pada 16 Mac.

Peguam, Honey Tan yang mewakili bapa kanak-kanak itu berkata, berikutan penolakan rayuan wanita itu untuk kebenaran rayuan, kanak-kanak itu akan tinggal bersama bapanya, manakala ibunya mempunyai akses kepada anak-anaknya.

Beliau berkata, jika ada perubahan keadaan, ibunya boleh mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk mengubah perintah penjagaan itu.

“Perintah penjagaan itu sah sehingga kanak-kanak itu berumur 18 tahun,” katanya. - Bernama