Datuk didakwa terima rasuah bina banglo

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Perak Corporation Berhad dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini atas pertuduhan menerima rasuah berupa pembayaran pembinaan banglo miliknya bernilai RM455,660, dua tahun lalu.

Datuk Aminuddin Md Desa, 57, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim S Indra Nehru.

Tertuduh didakwa menerima pembayaran bagi kerja-kerja pembinaan rumah banglo miliknya di Mukim Hulu Kinta dengan tiada balasan daripada Chua Kim Weng iaitu Pengarah Uni-Poh Constructions Works Sdn Bhd.

Dia mengetahui Kim Weng mempunyai hubungan tugas rasmi dengan syarikatnya iaitu melibatkan kontrak cadangan kerja-kerja infrastruktur utama dan lain-lain kerja berkaitan di Bandar Meru Raya.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank cawangan Jalan Sultan Idris Shah pada 17 Januari hingga 3 Julai 2017.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Indra Nehru membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin selain pasportnya diserah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau turut menetapkan 22 Februari depan untuk sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Farah Yasmin Salleh dan tertuduh diwakili peguam Najmi Dawami Abdul Hamid.