Kastam Selangor patahkan cubaan seludup rokok bernilai RM1.53 juta

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Jabatan Kastam Diraja Malaysia Selangor mematahkan cubaan menyeludup rokok putih dianggarkan bernilai RM1.53 juta dalam dua serbuan berasingan di Pelabuhan Utara, di sini baru-baru ini.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Datuk Zulkurnain Mohamed Yusuf berkata, serbuan itu dijalankan oleh sepasukan anggota penguatkuasa kastam pada 7 Januari dan Isnin lepas.

Katanya dalam serbuan itu, pihaknya menemui sebuah kontena bersaiz mencurigakan yang diikrar membawa muatan aksesori telefon.

“Hasil pemeriksaan menemukan 9.5 juta batang rokok putih bernilai RM760,000 membabitkan duti kastam berjumlah RM6.1 juta di dalam kontena terbabit,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata susulan itu, pihaknya menyerbu sebuah lagi kontena mencurigakan di lokasi sama yang turut diisytihar membawa barangan seperti aksesori telefon dan kasut.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kontena tersebut turut membawa 9.65 juta batang rokok putih bernilai RM772,000, membabitkan nilai cukai kira-kira RM6.4 juta.

"Semakan mendapati kesemua rokok yang merupakan barang dagang larangan tersebut cuba diseludup masuk ke Malaysia menerusi pelabuhan ini dari China.

"Hasil kedua-dua serbuan itu juga, kita turut menahan dua ejen Kastam dipercayai dari syarikat sama berusia lingkungan 50-an untuk membantu siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74 (1)(e) Akta Eksais 1967.

Sementara itu dalam kes berasingan, Kastam Selangor merampas dua buah kenderaan iaitu Toyota Hilux dan Toyota Fortuner yang dipercayai untuk dieksport ke Jepun di Pelabuhan Barat pada 4 Disember lepas.

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan mengikrar barang dagangan dibawa kontena itu sebagai ‘Secondary Welded Pipe’ dalam borang eksport Kastam bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Kedua-dua kenderaan ini dianggarkan berjumlah RM300,000 dan kita masih mengesan pengeksport dan ejen yang terlibat," katanya dan menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 133 (1)(a) Akta Kastam 1967. - Bernama