LTTE: Ketua pegawai eksekutif perbadanan mengaku tidak bersalah

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau Melaka mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi, di sini hari ini atas tiga pertuduhan berkaitan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

S Chandru, 38, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Melayu di hadapan Hakim, Datuk Aslam Zainuddin.

Bagi pertuduhan pertama, Chandru didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dalam satu majlis di Dewan Kasturi Ayer Keroh, Jalan Utama, Taman Ayer Keroh Heights, Melaka pada 8.30 malam hingga 10.50 malam, 28 November 2018.

Beliau juga dituduh memberi sokongan kepada kumpulan berkenaan dengan cara menggunakan aplikasi media sosial Facebook atas nama 'Chandru Suparmaniam' dan didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Penyiasat, Bahagian E8 (M), Cawangan Khas, Bukit Aman, di sini pada jam 9 pagi, 11 Oktober 2019.

Bagi pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas, beliau didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sepanjang hayat atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Chandru juga didakwa memiliki item-item berunsur perbuatan pengganas atau berkaitan dengan kumpulan pengganas LTTE di dalam sebuah telefon bimbit jenama Samsung Galaxy A10, di Kampung Bukit Balai, Alor Gajah, Melaka, pada jam 10.20 pagi, 12 Oktober 2019.

Pertuduhan memiliki item berkaitan pengganas adalah mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan hendaklah dilucuthakkan mana-mana item terbabit, jika sabit kesalahan.

Aslam membenarkan permohonan pendakwaan untuk kesemua kes itu dibicarakan bersama dan perbicaraan ditetapkan pada 8 hingga 11 Jun, 6 hingga 9 Julai dan 24 hingga 27 Ogos tahun ini, sementara 19 Februari depan ditetapkan untuk pengurusan kes.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Saifuddin Hashim Musaimi berkata, pihaknya akan memanggil 15 saksi untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes itu.

Peguam, Ramkarpal Singh mewakili Chandru.

Sebelum ini, Mahkamah Sesyen di sini dan Melaka membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kesemua kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Semasa kes disebut di Mahkamah Sesyen, pengakuan tidak direkodkan daripada tertuduh kerana pengakuan bagi kes melibatkan kumpulan pengganas akan diambil di Mahkamah Tinggi yang akan membicarakan kes itu. - Bernama