Pemburu haram: Polis akan tarik lesen senjata api

Abdul Hamid Bador. Foto: Zahid Izzani
Abdul Hamid Bador. Foto: Zahid Izzani
A
A
A
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam proses untuk menarik balik lebih 6,900 lesen senjata api yang digunakan bagi tujuan aktiviti pemburuan haram.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, sudah masanya rakyat Malaysia berhenti menjadikan aktiviti memburu sebagai hobi dan tindakan menarik balik lesen ini adalah selari dengan misi Op Bersepadu Khazanah.

"Apa gunanya kita berburu lagi? Tak perlu lagi dah.

"Mereka yang menggunakan senjata api untuk jaga tanaman pun saya tidak galakkan untuk menembak, gunalah cara lain untuk halau dan sebagainya," katanya dalam sidang akhbar Op Bersepadu Khazanah di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, hari ini.

Tegasnya, pihaknya dari bahagian perlesenan senjata api akan buat semakan dan memantau kawasan 'hotspot' memburu sebelum kita tarik semula lesen secara berperingkat.

Selain itu, Abdul Hamid juga mendedahkan, terdapat pihak yang menggunakan nama orang kenamaan untuk tujuan menceroboh ke kawasan larangan bagi memburu.

"Saya sudah keluarkan arahan supaya perkara ini dibuat laporan rasmi supaya tindakan dapat diambil. Saya masih menunggu laporan maklumat orang ramai dan badan bukan kerajaan (NGO) tentang sekiranya terdapat pembabitan golongan orang kenamaan (VVIP) dalam perbuatan memburu secara haram," katanya.

Op Bersepadu Khazanah turut menerima penglibatan daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan Asenapol.

"Pihak Asenapol dengan jelas juga turut bersedia membantu kita menangani kes sekiranya tangkapan melibatkan warganegara yang membabitkan di kalangan negara Asean," katanya.
Artikel Berkaitan:


Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Paddy Abdul Halim, Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim dan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Berdasarkan statistik Op Bersepadu Khazanah bagi tahun 2019, sebanyak 56 kes telah direkodkan dengan tangkapan seramai 102 individu yang ditahan atas pelbagai kesalahan membabitkan 43 warga tempatan, Thailand (3), China (14), Kemboja (10), Indonesia (11), Filipina (4), Vietnam (5), Bangladesh (6) dan Myanmar (6).