300 pegawai MAIS ikrar bebas rasuah

Seramai 300 pegawai MAIS, ketua jabatan agensi agama dan warga kerja anak syarikat MAIS menandatangani Ikrar Bebas Rasuah semalam.
Seramai 300 pegawai MAIS, ketua jabatan agensi agama dan warga kerja anak syarikat MAIS menandatangani Ikrar Bebas Rasuah semalam.
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 300 pegawai Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) buat pertama kalinya di Dewan Muktamar Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor (Jakess) di sini semalam.

Pengerusi MAIS, Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, langkah itu menunjukkan MAIS komited untuk menyahut seruan kerajaan Persekutuan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan kakitangan kerajaan bebas daripada gejala rasuah.

Menurutnya, dalam majlis itu, ketua jabatan agensi agama dan warga kerja anak syarikat MAIS turut melafaz IBR yang turut disaksikan Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim.

Mohammed Khusrin menunjukkan Ikrar Bebas Rasuah yang ditandatangani semalam.
Mohammed Khusrin menunjukkan Ikrar Bebas Rasuah yang ditandatangani semalam.

“Lafaz ikrar bebas rasuah ini dipimpin Setiausaha MAIS, Dr Haji Ahmad Shahir Makhtar diikuti ketua-ketua agensi dan anak syarikat MAIS sebelum sesi menandatangani Ikrar Bebas Rasuah.

“Dalam program ini saya turut mengingatkan semua kakitangan supaya mengutamakan penghasilan program kerjasama di antara jabatan-jabatan, agensi dan anak syarikat MAIS serta pelaksanaan Pelan Strategik MAIS Tahun 2020-2024,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Hadir sama Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd Shahzihan Ahmad dan Ketua Hakim Syarie Negeri Selangor Jakess, Mohammad Adib Husain.

Turut hadir, wakil Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Selangor (JPSS), agensi dan anak syarikat MAIS iaitu Lembaga Zakat Selangor (LZS), Perbadanan Wakaf Selangor (PWS), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis), Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (Teras), Bakti Suci Holdings Sdn Bhd (BSHSB) dan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE).

Artikel Berkaitan: