Cubaan seludup 260kg benih kerang ke Thailand gagal

Abdul Latif menunjukkan benih kerang yang dimasukkan dalam guni basah cuba diseludup ke Thailand petang semalam.
Abdul Latif menunjukkan benih kerang yang dimasukkan dalam guni basah cuba diseludup ke Thailand petang semalam.
A
A
A

ALOR SETAR - Cubaan seorang lelaki menyeludup 13 guni mengandungi 260 kilogram (kg) benih kerang bernilai lebih RM13,000 ke negara jiran gagal apabila ditahan anggota Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) Kedah.

Komander Aksem Kedah, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, benih kerang itu cuba diseludup ke Thailand petang semalam namun hasil risikan pihaknya berjaya merampas barangan tersebut selain menahan lelaki tempatan berusia 22 tahun yang juga pemandu kereta berkenaan.

Menurutnya, sepasukan anggota Aksem terserempak dengan kereta Proton Perdana dipandu lelaki berkenaan di kawasan perindustrian Bukit Kayu Hitam dalam keadaan mencurigakan dan mengekori kereta itu sehingga tiba di lampu isyarat.

“Anggota arahkan suspek untuk berhenti namun suspek bertindak memecut laju ke kawasan perindustrian.

"Pasukan mengejar sejauh lebih satu kilometer dan berjaya menahan suspek di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Kayu Hitam,” katanya pada sidang akhbar di pekarangan Bangunan Keselamatan Dalam Negeri (KDN) Anak Bukit hari ini.

Anggota Aksem memeriksa rampasan 13 guni benih kerang disembunyikan di bahagian penumpang belakang yang ditutup kain hitam manakala sembilan lagi guni di bahagian bonet.
Anggota Aksem memeriksa rampasan 13 guni benih kerang disembunyikan di bahagian penumpang belakang yang ditutup kain hitam manakala sembilan lagi guni di bahagian bonet.

Abdul Latif berkata, hasil pemeriksaan pihaknya menemui empat guni berisi benih kerang di bahagian penumpang belakang ditutup dengan kain hitam manakala sembilan guni di bahagian bonet.

“Kita percaya sindiket ini berhenti di beberapa transit sekitar kawasan ini sebelum mencari peluang untuk menyeludup masuk ke Thailand.

Artikel Berkaitan:

"Benih kerang yang dipercayai dibawa dari perairan Perak itu mendapat permintaan tingi dari negara jiran kerana di sana tiada pembenihan kerang secara semula jadi,” katanya.

Menurutnya, pihaknya percaya suspek yang bekerja kampung hanya mengambil upah dari pihak ketiga untuk membawa benih kerang berkenaan yang dipercayai dibawa dengan lori sebelum di transit ke kenderaan bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Kemungkinan benih kerang yang dimasukkan dalam guni basah itu lebih tiga hari perjalanan kerana ada benih yang sudah pun mati. Kes ini merupakan tangkapan pertama untuk tahun ini,” katanya.

Abdul Latif berkata, barang rampasan dan suspek akan diserahkan kepada Jabatan Perikanan untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Perkara 3 (1) Peraturan-Peraturan Perikanan (Pemuliharaan Dan Kultur Kerang) 2002 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM20,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.