X

Kindly register in order to view this article
!

Malaysia kekalkan kedudukan dalam laporan HDI PBB

Gambar hiasan. Foto: 123rf
A
A

SHAH ALAM - Malaysia mengekalkan kedudukan ke-61 dalam laporan Indeks Pembangunan Manusia (HDI) untuk tahun 2019 yang dikeluarkan oleh Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).

Malaysia memperoleh skor 0.804, meningkat 0.002 berbanding tahun sebelumnya menjadikan Malaysia masuk ke dalam kategori Pembangunan Manusia Sangat Tinggi.

Dalam laporan melibatkan 189 negara itu, HDI Malaysia telah meningkat sebanyak 24.9 peratus dari 1990 hingga 2018.

Dalam tempoh sama, jangka hayat penduduk Malaysia juga meningkat sebanyak 5.1 tahun iaitu daripada 70.9 tahun kepada 76 tahun.

Pendapatan Negara Kasar (PNK) perkapita Malaysia juga meningkat kira-kira 167.6 peratus antara 1990 dan 2018.

Hanya dua negara ASEAN lain yang berada dalam kategori Pembangunan Manusia yang sama seperti Malaysia iaitu Singapura yang berada di kedudukan kesembilan dan Brunei di kedudukan ke 43.

Lima negara utama dalam ranking HDI global adalah Norway (0.954), Switzerland (0.946), Ireland (0.942), Jerman (0.939) dan Hong Kong (0.939).

Menurut laporan itu, rantau Asia Pasifik menyaksikan peningkatan paling tinggi dalam pembangunan manusia di seluruh dunia.

“Rantau itu menerajui dunia dalam akses kepada internet jalur lebar dan semakin bertambah wilayah lebih maju dari segi jangka hayat, pendidikan dan akses kepada penjagaan kesihatan,” kata laporan itu.

Bagi rantau Asia Pasifik, Malaysia berada di kedudukan kesembilan di belakang Hong Kong dengan skor 0.939, Australia (0.938), Singapura (0.935), New Zealand (0.921), Jepun (0.906), Korea Selatan (0.903), Brunei (0.845) dan Palau (0.814).

Laporan UNDP itu turut meletakkan China di kedudukan ke-85 dalam kategori Pembangunan Manusia Tinggi dengan skor 0.758, manakala India pula di kedudukan ke-129 dan berada di dalam kategori Pembangunan Manusia Sederhana.

Sebanyak 10 negara dengan tahap HDI terendah adalah negara-negara dari benua Afrika seperti Niger dengan skor 0.377, Republik Afrika Tengah (0.381) dan Chad (0.401).


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!