Pulih tanah tapak kebun haram di Cameron Highlands

JPNP menanam pelbagai jenis pokok di HSK Sungai Ichat bagi tujuan pemulihan.
JPNP menanam pelbagai jenis pokok di HSK Sungai Ichat bagi tujuan pemulihan.
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) mengambil inisiatif menanam 3,500 pelbagai jenis pokok pada tujuan pemulihan bekas tapak kebun sayur haram di Hutan Simpan Kekal (HSK) Sungai Ichat, Cameron Hinglands.

Pengarahnya, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, kawasan seluas tujuh hektar itu akan ditanam secara berperingkat-peringkat bagi tujuan menghijaukan semula kawasan tadahan air terbabit dan memastikannya terus terpelihara seterusnya mengelak berlakunya banjir lumpur dan hakisan.

Menurutnya, HSK Sungai Ichat seluas 121 hektar sebelum ini diteroka secara haram dan dijadikan kebun sayur hingga menyebabkan berlakunya pencemaran pada kawasan tadahan air penduduk setempat.

"Di kawasan itu kita akan tanam pokok spesies Damar Minyak, Meranti Rambai Daun dan Merawan Siput Jantan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Kakitangan JPNP menanam pokok meranti di kawasan bekas kebun sayur haram di HSK Sungai Ichat.
Kakitangan JPNP menanam pokok meranti di kawasan bekas kebun sayur haram di HSK Sungai Ichat.

Program pemulihan bekas tapak kebun sayur haram itu membabitkan 100 kakitangan Bahagian JPNP dan Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub, PHD Bentong, Pejabat Ladang Hutan Kemasul, Temerloh, PHD Cameron Highlands dan Unit Penguatkuasa Pahang Barat.

Beliau berkata, selepas operasi bersih tahun lalu, pihaknya mengadakan program penghijauan dengan menanam sebanyak 12,500 pelbagai spesies pokok di kawasan seluas 16 hektar di lokasi sama.

Mohd Hizamri berkata, pihaknya memandang serius perbuatan meneroka kawasan hutan simpan di daerah ini bagi tujuan aktiviti kebun sayur.

Artikel Berkaitan:

Katanya, tindakan tegas menanti pihak terbabit yang bersikap degil dan tidak menghormati undang-undang.

“Operasi Lestari yang disertai pelbagai agensi penguat kuasa diharap dapat memberi kesedaran supaya tidak sesuka hati meneroka kawasan hutan simpan.

“Kemusnahan alam semula jadi pasti berlaku sekiranya kerajaan tidak bertindak tegas dan sektor pelancongan di Cameron Highlands akan terjejas apabila penerokaan hutan berlaku secara tidak terkawal,” katanya.