X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan perlu pantau agihan vaksin influenza

vaksin influenza
Gambar hiasan
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu meneliti kaedah pengagihan bekalan vaksin influenza untuk klinik swasta bagi memastikan golongan sasar benar-benar mendapat manfaat.

Pakar Kanak-Kanak Kasih Cyberjaya Specialist Clinic, Dr Mohd Zaqrul Razmal Mohd Podzi berkata, beliau menyambut baik usaha kerajaan untuk menyediakan bekalan vaksin berkenaan namun ia perlu dipantau dan diberikan dengan lebih bersistem.

Menurutnya, kehabisan stok vaksin sedia ada kini adalah disebabkan rasa panik pengguna membuatkan ada golongan yang sepatutnya diberi keutamaan mendapatkan vaksin, telah tercicir.

"Insentif ini bagus cuma kalau boleh janganlah hanya bermusim. Cara pemberiannya perlu diperhalusi. Perlu pilih klinik mana yang patut diberi bagi mengelakkan monopoli.

"Pengguna yang mahu mengambil vaksin juga perlu dikenal pasti dan beri keutamaan pada golongan yang berisiko," katanya kepada Sinar Harian.

Jelas beliau lagi, bekalan vaksin influenza sepatutnya sentiasa ada kerana ia hanya digalakkan untuk golongan yang berisiko.

"Stok sedia ada adalah dari tahun 2019 dan bekalan seterusnya adalah pada Mac atau April.

"Vaksin yang ada sepatutnya disaran untuk golongan yang berisiko yang mudah dijangkiti virus. Namun disebabkan panik, semua orang mahu ambil vaksin sebagai langkah pencegahan.

"Jadi apa yang berlaku sekarang, yang berisiko tak dapat vaksin, yang tidak berisiko dapat vaksin," katanya.

Kerajaan telah meluluskan bekalan alternatif sebanyak satu juta tablet vaksin Influenza A kepada klinik swasta.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, jumlah tablet vaksin itu boleh memberi manfaat kepada 100,000 pesakit.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus