Gunalah kebijaksanaan harmonikan negara

Laporan Sinar Harian berhubung kumpulan G25 yang mendakwa kerajaan meminggirkan Perlembagaan apabila mewujudkan Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Laporan Sinar Harian berhubung kumpulan G25 yang mendakwa kerajaan meminggirkan Perlembagaan apabila mewujudkan Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
A
A
A

SEKALI imbas memang tidak ada salahnya pada kumpulan ini.

Sekumpulan 25 bekas penjawat awam atau lebih tepat lagi individu pencen membentuk sebuah kumpulan yang sesekali mahu menyuarakan pendapat mereka.

Mereka terdiri daripada bijak pandai dan tokoh ternama yang memegang jawatan tinggi sewaktu berkhidmat sebagai kakitangan kerajaan. Apatah lagi apabila menerusi buku mereka bertajuk Breaking the Silence, Voices of Moderation: Islam in a Constitutional Democracy yang diterbitkan pada tahun 2014, kumpulan ini memperkenalkan diri mereka sebagai kumpulan Muslim moderat.

Moderat bermaksud sederhana atau tidak melampau yang sememangnya seiring dengan tema negara Malaysia yang harmoni.

Namun, masalahnya dengan G25 apabila perjuangan dan pendirian mereka sering menimbulkan kontroversi. Malah, acapkali bertentangan dengan agama Islam dan jauh lebih buruk menimbulkan perpecahan dalam masyarakat.

Sekiranya pada tahun 2015, G25 menggesa hukuman khalwat dimansuhkan, pada minggu lalu G25 membentangkan idea bahawa seseorang yang murtad adalah permasalahan dia dan Tuhan.

Namun, yang pasti sejak lebih lima tahun lalu antara perjuangan paling melampau disuarakan G25 adalah memansuhkan Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) dan Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI).

Sememangnya dalam semangat demokrasi dan kebebasan bersuara, seseorang individu atau kumpulan bebas menyatakan pendapat mereka.

Artikel Berkaitan:

Namun, sebagai bijak pandai, tidakkah terdapat banyak isu lain jauh lebih besar yang memerlukan curahan idea dan pengalaman mereka.

Isu pendidikan dalam kalangan pelajar Melayu, ekonomi orang Islam apatah lagi isu perpaduan bangsa Malaysia kini semakin genting dan perlu diperhalusi G25.

Sebaliknya G25 memilih untuk menyerang institusi agama dan mempersoalkan undang-undang Islam dalam garapan idea-idea kebebasan dan hak asasi.

Jangan biarkan kebebasan hak asasi dan nafsu berlandaskan ideologi barat memecahkan kita serta membunuh keamanan negara.