Anwar minta pengundi beri mandat kepada calon Warisan

Anwar (dua dari kanan) bersalaman dengan ahli-ahli PKR ketika tiba pada majlis pertemuan dengan pekebun kecil masyarakat Kadazan Dusun Murut di Bongawan hari ini. - Foto Bernama
Anwar (dua dari kanan) bersalaman dengan ahli-ahli PKR ketika tiba pada majlis pertemuan dengan pekebun kecil masyarakat Kadazan Dusun Murut di Bongawan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KIMANIS - Penduduk Kimanis perlu memberi mandat kepada calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Karim Bujang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis Sabtu ini, bagi memastikan program pembangunan yang dirancang dapat terus dilaksana di kawasan berkenaan.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penduduk Kimanis termasuk pekebun kecil perlu memilih wakil rakyat daripada parti pemerintah yang ​​​​​​​boleh menyuarakan kehendak dan aspirasi.

“Lebih baik (rakyat Kimanis) memberi mandat kepada calon Warisan, beri sokongan kepada kerajaan negeri serta kerajaan Persekutuan...dengan cara ini kita boleh terus bekerja (membawa pembangunan) untuk rakyat di sini.

“Ini (PRK Kimanis) adalah masa untuk kita membuat keputusan yang keputusan itu boleh membawa kebaikan kepada nasib dan masa depan kita,” katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama pekebun kecil getah di sin, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Christina Liew merangkap pengerusi PKR Sabah dan Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Dr Daud Yusof yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bongawan.

Anwar yakin kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan kerajaan Persekutuan diterajui Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan terus melakukan perubahan demi kemaslahatan rakyat negeri ini.

Terdahulu, beberapa pekebun kecil getah yang menghadiri program ramah mesra itu menyatakan harapan mereka supaya kerajaan dapat mengambil perhatian menaik taraf jalan raya.

Kemudahan bagi membolehkan menghantar hasil getah selain memastikan harga bahan komoditi itu stabil memandangkan ia menjadi sumber pendapatan utama mereka.

Artikel Berkaitan:

PRK Kimanis menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Karim dan calon Barisan Nasional Datuk Mohamad Alamin.- Bernama