Polis trafik boleh saman dalam sekolah

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

ARAU - Anggota polis trafik boleh mengeluarkan saman terhadap individu yang melakukan kesalahan di dalam kawasan sekolah jika ia adalah atas permintaan daripada pihak sekolah.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, polis trafik boleh menjalankan tugas mereka di mana-mana sahaja kerana itu adalah tugas dan dalam bidang kuasa polis setelah mendapat kebenaran daripada pihak pengurusan sekolah.

“Sebenarnya kami dijemput datang ke sekolah dan terlebih dahulu buat program advokasi kepada para pelajar sekolah. Selepas itu, barulah kami akan datang ke sekolah untuk buat operasi melalui Op Didik.

"Tidak sewenangnya terus buat operasi dan saman,” katanya selepas melancarkan Liga Bola Sepak PDRM Kontinjen Perlis di Kompleks Sukan Syed Areeb Putra, Universiti Malaysia Perlis, Pauh Putra di sini hari ini.

Surina Saad
Surina Saad

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu yang tular di laman sosial mengenai anggota polis trafik menjalankan operasi menyaman pelajar di dalam kawasan sekolah yang menimbulkan rasa tidak puas hati beberapa ibu bapa yang beranggapan bahawa ia menyalahi undang-undang.

Menurutnya, sebanyak lima buah sekolah terpilih bagi program itu di Perlis dan hanya selepas program advokasi dijalankan barulah tindakan dan operasi dijalankan di sekolah yang terlibat, katanya tanpa mendedahkan butiran sekolah berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Lebih 60 saman dikeluarkan dan kebanyakannya adalah kesalahan tidak mempunyai lesen memandu, termasuk saman terhadap pemilik kenderaan.

"Saman yang kita keluarkan adalah lebih kepada mendidik ibu bapa tentang pentingnya anak-anak mereka mempunyai lesen memandu terlebih dahulu. Keselamatan anak-anak perlu diutamakan,” katanya. - Bernama