X

Kindly register in order to view this article
!

Besar jasa perkhidmatan awam

A
A

PADA hari Isnin lepas, Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) meraikan hari ulang tahun ke-70. Saya mempunyai ramai sahabat dan kenalan yang berkhidmat dalam perkhidmatan awam Malaysia dalam skim perkhidmatan ini. Mereka bertugas di pelbagai kementerian, jabatan dan agensi.

Perkhidmatan awam moden di Malaysia dibawa oleh pihak kolonial British yang mentadbir negeri-negeri di Tanah Melayu.

Negeri-negeri di Tanah Melayu ketika itu sudah mulai menerima campur tangan Inggeris dengan membenarkan mereka meletakkan Residen dan Penasihat bagi menguruskan pentadbiran kerajaan waktu ketika itu dan bersamanya sistem perkhidmatan awam untuk Malaya (Malayan Civil Service).

Pada satu ketika, negeri-negeri di Tanah Melayu mempunyai tiga sistem perkhidmatan awam. Sebagai contoh, penubuhan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu di antara Selangor, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan pada tahun 1895 juga menggabungkan perkhidmatan awam negeri masing-masing menjadi Federated Malay State Civil Service (FMS).

Negeri-Negeri Melayu lain seperti Kelantan, Kedah, Johor, Terengganu pula masih kekal dengan perkhidmatan awam negeri mereka dan digelar Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu manakala Negeri-Negeri Selat seperti Melaka, Pulau Pinang dan Singapura mempunyai perkhidmatan awamnya yang tersendiri.

Pada awal tahun 1900-an, Pentadbiran FMS menubuhkan Malayan Administrative Service (MAS) yang khusus untuk merekrut dan melatih anak-anak Melayu elit untuk dijadikan penjawat awam.

Penubuhan Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) adalah bertepatan dengan hasrat itu. Melalui MAS, kader-kader baharu sebagai pentadbir dan penjawat awam dapat dilatih.

Ia membolehkan tokoh-tokoh seperti Almarhum Raja Chulan Raja Abdullah yang mula berkhidmat sebagai Settlement Officer di negeri Perak telah dilantik menjadi Pegawai Daerah di Perak Utara sekali gus memecahkan penguasaan birokrat dari Eropah di dalam perkhidmatan tersebut.

Kejayaan itu menjadi bukti bahawa anak Melayu boleh menjadi pentadbir di tanah air sendiri.

Anak Melayu

Sehinggalah tamatnya Perang Dunia Kedua, pihak kolonial British bercadang menggabungkan kesemua negeri-negeri di Tanah Melayu menjadi sebuah Persekutuan kecuali Singapura yang akan kekal menjadi tanah jajahan berasingan.

Peristiwa penting seperti kegagalan Malayan Union, penubuhan UMNO, pembentukan Persekutuan Tanah Melayu serta kemerdekaan adalah sedikit sebanyak disumbangkan oleh kewujudan anak-anak muda Melayu berkebolehan untuk mentadbir seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan lain-lain.

Kemerdekaan Malaya juga membawa kepada pembaharuan kepada pentadbiran awam negara. Lembaran baharu itu berjaya membawa lebih ramai anak Melayu khususnya untuk dijadikan penjawat awam dan menerajui pembentukan sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat bersama-sama pemimpin-pemimpin politik yang menerajui kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

Sinergi yang ditunjukkan oleh kerajaan dan perkhidmatan awam berjaya menjadikan Malaysia daripada sebuah negara kecil dan baru merdeka kepada sebuah negara yang maju dari segi ekonomi dan berwibawa di pentas antarabangsa.

Kepercayaan yang wujud di antara kedua-dua pihak iaitu ahli politik dan penjawat awam menjadikan dasar-dasar dan polisi yang dirancang boleh dilaksanakan serta beroleh kesannya kepada rakyat dan negara.

Sumbangan perkhidmatan awam pada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat amatlah besar dan perlu dihargai.

Cukup-cukuplah menyalahkan penjawat awam dan menuduh sebarangan seperti mensabotaj kerajaan semasa. Jadikan mereka sebagai rakan kongsi bukannya alasan sekiranya gagal menunaikan janji.

* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!