X

Kindly register in order to view this article
!

Warga emas rentung terperangkap dalam kedai

Pasukan bomba membawa keluar mayat mangsa untuk diserahkan kepada pihak polis.
A
A

IPOH - Seorang lelaki warga emas ditemukan rentung selepas terperangkap dalam kebakaran di sebuah premis dua tingkat di Jalan Lahat di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mayat mangsa, N Mahgalingam, 71, ditemui anggota bomba di tingkat bawah bangunan tersebut.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Azmi Osman berkata, maklumat awal diterima mendapati mangsa yang bekerja di premis jualan surat khabar itu tinggal sendirian ketika kejadian.

"Seramai 53 anggota membabitkan Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Pasir Putih serta Pasukan Bomba Sukarela Pekan Baru dan Bercham bergegas ke lokasi .

Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman kebakaran premis dua tingkat di Jalan Lahat.
Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman kebakaran premis dua tingkat di Jalan Lahat.

"Anggota menjalankan operasi pemadaman dan berusaha menyelamatkan mangsa dengan memecahkan pintu utama premis," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini.

Menurutnya, lebih 90 peratus premis musnah dan operasi masih diteruskan dengan memadam sisa kebakaran.

"Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan forensik bomba," katanya.

Sebuah premis dua tingkat terbakar menyebabkan seorang warga emas rentung.
Sebuah premis dua tingkat terbakar menyebabkan seorang warga emas rentung.

Sementara itu, anak mangsa, M Sivalingam, 42, terkejut apabila ayahnya terlibat dalam kejadian itu selepas menerima panggilan daripada rakannya.

"Ayah sudah bekerja 30 tahun di kedai ini dan dia tinggal di tingkat satu premis. Saya baru sahaja berjumpa dengan ayah Sabtu lalu.

"Tak sangka ayah terlibat. Kami empat beradik berasa sedih, kami tidak tahu nak buat apa-apa," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus