Ibu tunggal, teman lelaki disyaki dera budak ditahan

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang ibu tunggal bersama teman lelakinya ditahan polis kerana dipercayai mendera seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun hingga menemui ajal, semalam.

Menurut sumber, kanak-kanak itu yang merupakan anak wanita berkenaan meninggal dunia kira-kira jam 12.10 tengah hari semalam (13 Januari 2019) selepas dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini pada hari yang sama untuk menerima rawatan.

Penahanan suspek berusia 22 tahun itu dibuat selepas pihak hospital membuat laporan kerana mencurigai kesan lebam dan cedera yang ditemui pada tubuh kanak-kanak berkenaan.

Ia susulan hasil bedah siasat dilakukan mendapati punca kematian kanak-kanak itu adalah disebabkan kecederaan akibat hentakan objek tumpul di bahagian kepala selain tubuhnya turut mempunyai beberapa kesan parut dipercayai akibat penderaan berterusan.

Suspek bersama teman lelakinya yang berusia 33 tahun telah diberkas polis kira-kira jam 3.45 pagi tadi di pekarangan hospital tersebut.

Difahamkan, pasangan berkenaan bersama kanak-kanak itu tinggal bersama dengan menyewa sebuah bilik di sebuah pangsapuri di Kempas.

Mangsa juga dimaklumkan sering ditinggalkan sendirian bersama teman lelaki ibunya yang juga seorang penganggur ketika wanita berkenaan keluar bekerja sebagai operator di sebuah kilang.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komioner Md Yusof Ahmad ketika dihubungi mengesahkan tangkapan kedua-dua suspek berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh selain memaklumkan kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.