X

Kindly register in order to view this article
!

Kilang Danone Dumex pindah operasi, 165 pekerja terjejas

Tangkap layar hantaran Mohamed Nizham di Facebooknya berkenaan penutupan kilang Danone Dumix.
A
A

SEREMBAN - Seramai 165 pekerja kilang susu formula Danone Dumex (M) Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Nilai di sini terpaksa diberhentikan selepas operasi pengeluaran dipindahkan ke fasiliti syarikat di Thailand.

Exco Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam, J Arul Kumar berkata, keputusan itu dibuat syarikat berkenaan sebagai langkah penstrukturan semula dan kecekapan pengeluaran.

"Pihak Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Sembilan memaklumkan semua pekerja terlibat membabitkan 76 pekerja bahagian pengurusan dan 89 pekerja bukan pengurusan diberi notis pemberhentian mulai semalam (13 Januari) hingga 12 April.

"Mereka tidak perlu hadir dalam tempoh berkenaan. Bayaran gaji bagi Januari dan Februari akan dibayar mengikut tarikh bayaran upah biasa iaitu pada 23 hari bulan," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, jika pekerja memilih 29 Februari depan sebagai tarikh akhir bekerja, gaji ganti notis akan dibayar bagi tempoh selebihnya iaitu pada 1 Mac hingga 12 April.

J Arul Kumar
J Arul Kumar

Beliau berkata, seramai 33 pekerja dikekalkan dan diserap ke Regional Cluster Ibu Pejabat manakala seramai enam pekerja dipindahkan ke fasiliti syarikat di luar negara.

"Secara keseluruhan yang diberhentikan ialah seramai 116 lelaki dan 49 perempuan. Pihak JTK akan memastikan semua bayaran pampasan dibuat seperti yang dijanjikan.

"JTK juga akan membantu mereka mendapatkan pekerjaan lain melalui pelbagai kaedah dengan majikan lain," katanya mengulas hantaran Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohamed Nizham Abdullah Hamidi di Facebooknya semalam berkenaan pemberhentian operasi kilang itu.

Mohamed Nizham berkata, pekerja kilang menerima kejutan yang disangka akan mendapat bonus sempena Tahun Baru Cina tetapi sebaliknya kilang akan menghentikan operasi dan berpindah ke Indonesia dan Thailand.

Sementara itu, Arul Kumar yang juga ADUN Nilai berkata, situasi di kilang terbabit tidak ada kaitan dengan ekonomi di negara ini.

Jelas beliau, jika dikaitkan dengan keadaan ekonomi, sudah tentu pada tahun 2018, Negeri Sembilan tidak dapat menerima jumlah pelaburan sebanyak RM 2.8 bilion yang telah mewujudkan lebih 3,000 peluang pekerjaan.

"Pada tahun lepas kita menerima pelaburan yang tinggi sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan," katanya.