Thailand diancam kemarau

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

BANGKOK - Thailand kini diancam kemarau paling buruk dalam tempoh beberapa dekad dan keadaan itu menjadi semakin serius apabila berlakunya penerobosan air garam ke Sungai Chao Phraya, sumber air utama bagi Thailand Tengah.

Pada tahun ini, musim kemarau tiba lebih awal berbanding biasa dan diramal berpanjangan.

Memburukkan lagi keadaan apabila berlaku peningkatan paras laut dan penumpatan pam air bawah tanah, menyebabkan penerobosan air garam di bawah tanah dan menjejaskan pengeluaran air paip.

Timbalan Ketua Setiausaha Pejabat Sumber Air Negara, Samroeng Saengphuwong berkata, Thailand dijangka dilanda kemarau paling teruk dalam tempoh empat dekad.

"Musim kemarau tiba lebih awal tahun ini dan ia diramal berlarutan sehingga Mei. Biasanya, ia sehingga April. Kemarau paling buruk antara Februari dan April.

"Paras air di pusat takungan dan empangan utama hanya mampu menampung kurang 30 peratus daripada keseluruhan simpanan berikutan musim kemarau berlaku lebih awal daripada yang dijangka," katanya kepada Bernama.

Tambah beliau, musim kemarau pada tahun lalu menyebabkan simpanan air takungan utama dan empangan di seluruh negara berkurangan.

Jabatan Meteorologi Thailand meramalkan bahawa musim hujan iaitu Mei dan Jun akan menyaksikan jumlah hujan yang sedikit berbanding tahun lepas.

Artikel Berkaitan:

"Ini mengurangkan lagi paras air di sungai dan empangan," kata Samroeng.

Setakat ini, 18 wilayah telah diisytiharkan sebagai zon kemarau dan 54 wilayah 'berisiko' mengalami kekurangan bekalan air.

Pihak berkuasa Provincial Waterworks Authority (PWA) berkata kemarau akan menjejaskan 61 fasiliti pengeluaran air di 31 wilayah iaitu 15 di timur laut, sembilan di utara, enam di selatan dan satu di timur dan memberi amaran kepada penduduk di wilayah itu untuk bersiap-sedia berdepan situasi lebih buruk.

Keadaan itu memaksa pihak berkuasa menggerudi telaga, mengekstrak air bawah tanah dan membina fasiliti tambahan untuk penyimpanan air.

Minggu lalu, Kabinet meluluskan 3 bilion baht untuk melaksanakan pelbagai langkah menangani kekurangan air di negara ini. Peruntukan itu akan digunakan untuk melaksanakan 2,041 projek.

Perdana Menteri, Jeneral Prayuth Chan o-cha menggesa orang ramai menggunakan air secara berhemah dan kerajaan telah menubuhkan pusat bagi menyelaras kerja-kerja untuk mengatasi masalah kemarau.

Diketuai Timbalan Perdana Menteri Prawit Wongsuwan, pusat itu akan menilai keadaan kemarau, mengurus bekalan air dan menawarkan bantuan segera kepada mangsa yang terjejas. - Bernama