Pesawat Ukraine ditembak: Iran berkas beberapa individu

Pasukan penyiasat Kanada juga dibenarkan untuk memeriksa serpihan dan bangkai pesawat PS752 milik Ukraine International Airlines tersebut. - Foto Agensi
Pasukan penyiasat Kanada juga dibenarkan untuk memeriksa serpihan dan bangkai pesawat PS752 milik Ukraine International Airlines tersebut. - Foto Agensi
A
A
A

TEHERAN - Badan kehakiman Iran hari ini mengumumkan penahanan beberapa individu yang dipercayai ada kaitan dengan insiden pesawat Ukraine International Airlines ditembak jatuh secara tidak sengaja oleh Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) kerana menyangka ia misil cruise pada Rabu lalu.

Jurucakapnya, Gholamhossein Esmaili berkata, siasatan secara meluas telah dijalankan, namun beliau tidak menyatakan identiti dan jumlah mereka yang diberkas.

Pengumuman itu dibuat beberapa hari selepas Teheran dilanda protes antirejim yang menyaksikan kumpulan pelajar melaungkan slogan mengecam kejadian tersebut yang meragut 176 nyawa mangsa penumpang.

Sementara itu, Presiden Iran, Hassan Rouhani menggesa sebuah mahkamah khas ditubuhkan untuk menyiasat tragedi tersebut.

"Badan kehakiman sepatutnya menubuhkan mahkamah khas terdiri daripada hakim dan puluhan pakar. Ini bukan kes biasa. Mata masyarakat dunia akan tertumpu pada mahkamah terbabit," ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ottawa memaklumkan Teheran membenarkan penyiasat dari negara itu mengambil peranan aktif terhadap siasatan pesawat PS752 tersebut yang telah mengorbankan 57 rakyat Kanada.

Mereka juga dibenarkan untuk melawat lokasi nahas dan melihat serpihan bangkai pesawat yang dikumpulkan di hangar berhampiran.

Difahamkan, 57 daripada 176 mangsa penumpang adalah rakyat Kanada. - Agensi

Artikel Berkaitan: