Hujahan kes Isa ditetapkan 28 Februari

Mohd Isa ditemui di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas perbicaraan kes pecah amanah dan rasuah hari ini.
Mohd Isa ditemui di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas perbicaraan kes pecah amanah dan rasuah hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pihak pendakwaan hari ini menutup bicara kes terhadap bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang didakwa dengan pertuduhan pecah amanah dan rasuah RM3 juta selepas 22 saksi selesai memberi keterangan dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi, di sini.

Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz memaklumkan demikian di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali selepas saksi terakhir pendakwaan, Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Safari Abdullah, 37, selesai memberi keterangan selepas 15 hari perbicaraan berlangsung.

Afzainizam berkata, pihak pendakwaan menawarkan enam saksi kepada pihak pembelaan sekiranya tertuduh dipanggil membela diri terhadap pertuduhan itu iaitu bekas-bekas Ahli Lembaga Pengarah FIC, Datuk Faizoull Ahmad, Datuk Dr Omar Salim, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harum Narrashid, Datuk Nik Azman Mohd Zain dan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah serta setiausaha Mohd Isa, Zuraida Ariffin.

Hakim Mohd Nazlan menetapkan 28 Februari depan untuk kedua-dua pihak berhujah manakala hujahan balas perlu difailkan pada atau sebelum 23 Mac ini.

Pada 14 Disember 2018, Mohd Isa didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta bagi meluluskan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).

Mohd Isa, 69, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azura Alwi.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Isa didakwa sebagai Pengarah Syarikat Felda Investment Corporation Sdn Bhd, yang diamanahkan dengan dana syarikat itu melakukan pecah amanah ke atas dana tersebut dengan meluluskan cadangan pembelian MPHS Hotel dengan harga RM160 juta tanpa kelulusan Anggota Lembaga Pengarah Felda.

Perbuatan itu bertentangan dengan keputusan Mesyuarat Anggota Lembaga Pengarah Felda Bilangan 303 bertarikh 25 Jun 2013 yang dibuat berkenaan pelaksanaan amanah itu yang mana Anggota Lembaga Pengarah Felda memberi mandat kepada Anggota Lembaga Pengarah Syarikat FIC Sdn Bhd dalam membuat keputusan pelaburan melibatkan projek bernilai RM100 juta ke bawah.

Artikel Berkaitan:

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Tingkat 50, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC dekat sini pada 29 April 2014 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua hingga ke-10, Mohd Isa didakwa secara rasuah menerima suatu suapan untuk dirinya iaitu wang tunai, yang kesemunya berjumlah RM3,090,000.00 daripada Ikhwan Zaidel iaitu Anggota Lembaga Pengarah Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd melalui Muhammad Zahid Md Arip sebagai upah bagi membantu meluluskan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching oleh pihak Syarikat FIC Sdn Bhd yang bernilai RM160 juta.

Dia dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC dekat sini antara 21 Julai 2014 dan 11 Dis 2015.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.