Bekas wartawan derita kanser kelenjar

Azran menyampaikan sumbangan kepada Nordin (dua dari kanan) di kediamannya di Kampung Kuala Nal.
Azran menyampaikan sumbangan kepada Nordin (dua dari kanan) di kediamannya di Kampung Kuala Nal.
A
A
A

KUALA KRAI - Bekas wartawan sambilan NTV7 menderita kanser kelenjar tahap empat dan kini terpaksa melalui enam rawatan kemoterapi.

Nordin Abdullah, 64, dari Kampung Kuala Nal di sini berkata, dia dikesan menghidap kanser berkenaan pada Oktober tahun lalu ketika melakukan pemeriksaan kesihatan rutin di Hospital Kuala Krai (HKK) kerana dia turut menghidap penyakit darah tinggi.

"Penyakit ini dikesan selepas doktor bertanyakan mengenai benjolan di bawah dagu saya.

"Benjolan ini sudah lama dan saya tidak ambil tahu kerana tidak sakit. Bagaimanapun doktor mengarahkan saya membuat pemeriksaan rapi dan disahkan sebagai kanser kelenjar tahap empat," katanya ketika ditemui selepas menerima lawatan Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) di kediamannya hari ini.

Kemudi turut menyampaikan sumbangan wang tunai melalui Presidennya, Azran Fitri Rahim.

Hadir sama, Ketua Biro Bernama, Zabidi Ishar dan beberapa ahli kelab tersebut.

Nordin yang sudah tamat kontrak bersama NTV7 tahun lalu bersyukur kerana mendapat sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan yang menjadi pembakar semangat untuk terus kuat melawan penyakitnya.

"Saya berterima kasih kepada keluarga, rakan-rakan dan semua pihak yang terus memberikan sokongan kepada saya untuk menempuh saat sukar ini," katanya yang juga bekas kakitangan unit Majalah TV3.

Artikel Berkaitan: