X

Kindly register in order to view this article
!

Iran beri lampu hijau kepada penyiasat Kanada

Trudeau ketika menghadiri upacara memperingati mangsa penumpang terkorban dalam tragedi pesawat Ukraine di Ottawa. - Foto AGENSI
A
A

OTTAWA - Kanada memaklumkan Iran membenarkan penyiasat dari negara itu mengambil peranan aktif terhadap siasatan pesawat PS752 Ukraine International Airlines yang ditembak jatuh secara tidak sengaja oleh Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) kerana menyangka ia adalah misil cruise ketika kejadian pada Rabu lalu.

Delegasi dari Ottawa tiba di Teheran pada awal pagi tadi untuk menyiasat tragedi tersebut yang telah meragut 176 nyawa penumpang.

Terdahulu, Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kanada mengesahkan Iran memberi akses siasatan penuh kepada mereka termasuk memuat turun dan menganalisis data perakam suara kokpit serta perakam data penerbangan.

Mereka juga dibenarkan untuk melawat lokasi nahas dan melihat serpihan bangkai pesawat yang dikumpulkan di hangar berhampiran.

Difahamkan, 57 daripada 176 mangsa penumpang adalah rakyat Kanada.

Sementara itu, Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) juga mengumumkan ia telah menerima jemputan dari Teheran untuk memberikan nasihat pakar dalam menyokong siasatan terhadap insiden tersebut.

“ICAO telah melantik kakitangan teknikal kanan dan pakar yang akan menjadi penasihat serta pemerhati siasatan itu bagi mematuhi ketetapan Lampiran 13 Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa (Kemalangan Pesawat dan Siasatan Insiden),” jelas pertubuhan tersebut.

PM Kanada kesal

Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau dengan nada kesal berkata, kesemua 176 mangsa penumpang mungkin masih hidup jika tiada konflik tercetus di Asia Barat.

“Saya rasa jika konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran itu tidak berlaku, pasti kesemua mangsa rakyat Kanada sudah bersama keluarga masing-masing ketika ini,” ujarnya menerusi wawancara bersama Global News TV semalam.

Menurutnya, Kanada juga tidak dimaklumkan sebelum Washington membunuh komander kanan IRGC, Leftenan Jeneral Qasem Soleimani pada 3 Januari lalu yang menjadi titik tolak ketegangan memuncak di Asia Barat.

“AS membuat keputusan secara sebelah pihak. Kami cuba bekerjasama sebagai komuniti antarabangsa apabila ia berkaitan dengan isu besar. Namun, ada sesetengah negara yang mengambil keputusan sendiri tanpa memaklumkan kepada sekutu mereka,” jelasnya.

Trudeau berkata, kerajaan juga sedang berusaha untuk membawa pulang mayat rakyat mereka yang terkorban dalam insiden itu.

“Ia mungkin mengambil masa selama beberapa minggu atau lebih sebulan,” katanya lagi. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!