Penyakit ILI di Negeri Sembilan terkawal

Veerapan
Veerapan
A
A
A

SEREMBAN – Penyakit Influenza Like Illness (ILI) di Negeri Sembilan terkawal dan tiada kematian direkodkan sehingga tempoh 13 Januari ini.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, sehingga semalam sebanyak 106 kes penyakit ILI dilaporkan di negeri ini berbanding 51 kes pada 2019.

Menurutnya, terdapat tiga kluster Influenza A melibatkan 11 kes dilaporkan iaitu di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Mukundan, Bukit Pelandok, Port Dickson sebanyak dua kes; Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hwa Port Dickson (6) dan Kolej Epsom, Nilai (3).

“Daripada 11 kes tersebut, 10 orang telah diberi rawatan pesakit luar dan hanya satu kes dimasukkan ke wad untuk pengawasan. Bagaimanapun, kes tersebut telah pun dibenarkan pulang ke rumah.

“Situasi terkini penyakit ILI di Negeri Sembilan berada dalam keadaan terkawal. Tiada sekolah ditutup dan tiada kematian dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ILI berpunca daripada pelbagai jenis influenza termasuk Influenza A dan B yang boleh berlaku di dalam komuniti secara bermusim.

Penyakit ini biasanya akan menyebabkan jangkitan ringan dan sembuh dengan sendiri. Antara simptom utama adalah demam yang tinggi, selesema, batuk dan kelesuan.

Veerapan berkata, orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan rawatan awal sekiranya terdapat simptom-simptom penyakit berkenaan terutamanya golongan berisiko tinggi iaitu orang tua, perempuan mengandung, kanak-kanak berusia 5 tahun ke bawah dan pesakit kronik seperti asma serta kencing manis.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sempena musim perayaan ini orang ramai juga dinasihatkan untuk mengamalkan langkah-langkah pencegahan awal dengan minum air secukupnya dan kurangkan aktiviti luar semasa cuaca panas.

"Amalkan kerap membasuh tangan, mengelakkan berkunjung ke tempat awam yang sesak serta mengamalkan etika batuk dan bersin dengan betul," katanya.