5 Februari sebutan kes Goldman Sachs

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 5 Februari bagi sebutan kes terbitan bon 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai RM27.2 bilion (AS$6.5 bilion) terhadap Goldman Sachs (Singapore) Pte.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Zaki Asyraf Zubir memaklumkan kepada mahkamah bahawa penyerahan notis saman kepada syarikat berkenaan masih dalam proses berikutan masalah teknikal.

“Terdapat tarikh lama dalam saman yang dikeluarkan kepada syarikat di Singapura itu (Goldman Sachs). Berikutan itu Singapore Goldman Sachs enggan menerima notis saman itu yang dihantar kepada mereka,” katanya kepada mahkamah di sini hari ini.

Susulan itu, Mohamed Zaini menetapkan 5 Februari bagi mendengar status terbaharu mengenai perkara berkenaan.

Yang turut hadir ialah peguam-peguam Krishna Dallumah dan Datuk Prem Ramachandran, mewakili Goldman Sachs (Singapore).

Sementara itu, di Mahkamah Majistret di hadapan Majistret Nur Farah Ain Roslan, Zaki Asyraf memaklumkan bahawa pihak pendakwaan akan mengeluarkan notis saman yang baharu dengan tarikh yang betul.

Nur Farah juga menetapkan 5 Februari bagi sebutan.

Mahkamah Tinggi sebelum ini menetapkan hari ini bagi mendengar permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes berkenaan yang membabitkan Goldman Sachs (Singapore) daripada Mahkamah Majistret ke Mahkamah Tinggi.

Artikel Berkaitan:

Pada Disember tahun lepas, Malaysia memfailkan empat pertuduhan terhadap Goldman Sachs di Mahkamah Majistret di sini kerana didakwa meninggalkan fakta material berhubung penjualan bon terbitan antara anak syarikat 1MDB dengan Aabar Investments P.J.S. Ltd (Aabar).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di premis 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Aras 8, Menara IMC, No. 8, Jalan Sultan Ismail di sini antara 19 Mac 2012 dan 11 Nov 2013.

Syarikat itu didakwa mengikut seksyen 179(c) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun dan didenda tidak kurang daripada RM1 juta jika sabit kesalahan.

Bekas ahli perbankan Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa, mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan bersubahat dengan syarikat itu berhubung penjualan nota jaminan dan bon yang sama dengan mengeluarkan fakta material serta mengemukakan pernyataan palsu.

Jabatan Keadilan Amerika Syarikat menganggarkan kira-kira AS$4.5 bilion diselewengkan daripada 1MDB antara 2009 dan 2014. - Bernama