X

Kindly register in order to view this article
!

'Pasang langsir untuk seludup kambing'

Taktik memasang langsir pada kenderaan jenis Toyota Unser untuk menyeludup kambing dari negara jiran berjaya dihidu Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan.
A
A

RANTAU PANJANG - Taktik sekumpulan lelaki memasang langsir dalam kenderaan mereka bagi mengelakkan penyeludupan kambing dikesan gagal kerana Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan berjaya menghidu kegiatan itu.

Penyeludup terbabit yang membawa masuk kambing dari negara jiran menggunakan Toyota Unser itu ditahan di pangkalan haram Lubok Gong itu kira-kira jam 2.30 petang semalam.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintenden Azhari Nusi berkata, ketika pasukannya dan Unit Tiger Platoon Batalion 8 membuat rondaan bersama mereka ternampak sekumpulan lelaki sedang menarik 12 ekor kambing jantan jenis Boer daripada perahu di Sungai Golok.

"Kambing tersebut dibawa masuk ke kenderaan yang ditutup dengan langsir manakala semua kerusi di bahagian belakang dibuang," katanya pada sidang akhbar di Markas Taktikal PGA Lubok Stol di sini hari ini.

Menurutnya, kambing yang bernilai RM10,000 itu dipercayai dibawa masuk dari negara jiran untuk pasaran tempatan.

Bagaimanapun, Azhari memberitahu kesemua lelaki tersebut melarikan diri ke negara jiran dengan menaiki perahu.

Azhari berkata, kesemua rampasan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).

Azhari (dua,kanan) bersama pegawainya menunjukkan minuman dan beras yang berjaya dirampas.
Azhari (dua,kanan) bersama pegawainya menunjukkan minuman dan beras yang berjaya dirampas.

Sementara itu dalam perkembangan lain beliau berkata, pasukan berkenaan merampas 1,853 kilogram beras pelbagai jenama dan 1,500 botol minuman di kawasan Jalan Besar Bunohan, Cabang Empat, Tumpat pada jam 3.30 petang semalam.

"Anggota kami terserempak dengan sebuah van jenis Nissan Vannete dalam keadaan mencurigakan. Pemandu bertindak memberhentikan kenderaan dan melarikan diri ke arah semak berhampiran," katanya.

Menurutnya, barangan rampasan bernilai RM5,929 itu dipercayai dibawa masuk dari negara jiran untuk pasaran tempatan.

Katanya, kesemua rampasan diserahkan kepada pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) untuk siasatan lanjut.