Mangsa kren runtuh 'taja' lapan anak tunai haji

Seramai 108 terbunuh dan 238 cedera apabila kren yang digunakan untuk menaik taraf Masjidil Haram itu runtuh pada September 2015.
Seramai 108 terbunuh dan 238 cedera apabila kren yang digunakan untuk menaik taraf Masjidil Haram itu runtuh pada September 2015.
A
A
A

PUTRAJAYA - Mangsa runtuhan kren musim haji 2015 lalu berhasrat untuk mengagihkan sebahagian sumbangan SR500,000 (RM542,536) yang diterimanya kepada lapan anak untuk melaksanakan haji.

Mat Deris Mohd Noor, 66, berkata, sebahagian lagi wang sumbangan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdul Aziz itu akan digunakan untuk dirinya yang mengalami masalah kesihatan.

"Kesan daripada insiden tersebut, pak cik masih lagi sakit pada bahagian paha yang patah dan digantikan besi," katanya.

Mengimbau kembali kejadian tersebut, Mat Deris yang juga guru agama berkata, ketika itu dia sedang berehat di tingkat dua selepas selesai solat Asar.

"Sedang berehat pak cik terdengar dentuman dan terus tidak sedarkan diri selama dua hari," katanya yang turut cedera di bahagian kepala.

Mat Deris Mohd Noor
Mat Deris Mohd Noor

Sementara itu waris kepada Munah Jusoh yang meninggal dunia dalam kejadian itu, Che Wil Che Muda menzahirkan rasa terima kasih kepada semua terlibat.

Katanya, dia tidak menyangka ibunya antara mangsa yang meninggal dalam insiden runtuhan kren berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Tabung Haji ada beritahu ibu terlibat dan saya ingatkan tidak ada apa-apa tapi keesokan harinya, Tabung Haji menyenaraikan ibu antara korban," katanya.

"Saya berhasrat untuk ke Tanah Suci bersama enam beradik yang lain menggunakan SR1juta (RM1.08 juta) yang diterima ini. Kami lapan beradik, namun kakak sulung sudah meninggal dunia," katanya.

Cik Will Che Muda
Cik Will Che Muda

Pada September 2015, seramai 108 mangsa terbunuh dan 238 cedera apabila kren yang digunakan untuk menaik taraf Masjidil Haram itu runtuh.

Rentetan tragedi malang itu, Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz Al Saud dilaporkan bersetuju membayar pampasan kepada semua mangsa yang terbabit dalam nahas kren runtuh di Masjidil Haram.

Memetik laporan Saudi Press Agency, nilai pampasan dikategorikan kepada tiga bahagian iaitu kepada jemaah meninggal dunia, jemaah cedera yang hilang keupayaan kekal dan jemaah yang hanya mengalami kecederaan biasa.

Bagi jemaah meninggal dunia dan jemaah yang hilang keupayaan kekal, mereka akan dibayar SR1 juta sementara kecederaan biasa pula akan diberi pampasan SR500,000.

Bagaimanapun, pada Oktober 2017, mahkamah Makkah memutuskan semua mangsa kren tidak akan mendapat sebarang diyyah dan merumuskan kejadian itu berlaku disebabkan faktor alami serta bukan kecuaian manusia.

Mahkamah juga membebaskan semua 13 pekerja Binaldin Group yang bertanggungjawab terhadap kren gergasi di Tanah Suci itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Waris mangsa kren runtuh di Malaysia belum terima pampasan

Kren runtuh: Waris jemaah haji terima sumbangan Raja Salman