Jalan utama mendap, berlubang

Penduduk menunjukkan keadaan jalan yang berlubang sehingga menyebabkan kebocoran paip air di kampung mereka.
Penduduk menunjukkan keadaan jalan yang berlubang sehingga menyebabkan kebocoran paip air di kampung mereka.
A
A
A

KODIANG - Penduduk di Kampung Pida 12 Lama merayu pihak berwajib agar menurap semula jalan masuk ke kampung mereka.

Seorang penduduk, Mohd Shukri Said, 36, berkata, jalan sepanjang dua kilometer itu sudah lama tidak diselenggara sepenuhnya.

Katanya, ia menyebabkan ada jalan rosak teruk disebabkan mendap dan berlubang.

"Tahun lalu, ada la juga depa mai turap, tapi tak sepenuhnya, terutama yang kat kepala jalan dalam 500 meter tu depa tak buat apa pun.

"Sedangkan situ yang teruk, sebab jalan itu disimen, bila dah lama, simen ada yang dah pecah dan jalan jadi tak sekata," katanya ketika ditemui semalam.

Menurutnya, beberapa penduduk sebelum ini juga telah memanjangkan aduan mereka kepada pusat khidmat wakil rakyat dan juga agensi bertanggungjawab, tetapi tiada tindakan diambil sehingga sekarang.

"Kami kesal sebab jalan kampung ni jalan utama kami keluar masuk, kalau ada apa-apa kecemasan, memang tak boleh nak cepat.

"Jadi harap sangat ada usaha untuk baiki jalan ini demi keselesaan penduduk di kampung ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Azizah Daud, 66, berkata, anak-anaknya juga sering merungut mengenai jalan kampung mereka kerana kenderaan kerap rosak.

"Kalau yang naik motosikal, memang tayar selalu pancit. Kita pula hari-hari terpaksa guna jalan tu saja," katanya.

Masalah sama turut dikongsi jirannya, Azizah Sharif, 49, yang sering berulang alik menghantar anaknya bekerja.

"Anak saya ni ada van yang ambil dan hantar, tapi van pun tak mau masuk ambil anak kat rumah sebab jalan teruk. Jadi saya terpaksa hantarnya di kepala jalan kampung kami.

"Kami ni kalau orang luar nak mai rumah, memang malu. Sebab depa duk merungut jalan tak elok, kita pun terasa juga, kampung lain elok saja jalan depa," katanya.