X

Kindly register in order to view this article
!

Bekas guru besar mengaku tak salah pecah amanah

Thye Choon dibawa ke dibawa ke mahkamah pagi tadi atas lapan pertuduhan pecah amanah.
A
A

BUTTERWORTH - Bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Wellesley didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini pagi tadi atas lapan pertuduhan pecah amanah membabitkan wang RM35,500 sejak 2015.

Tertuduh, Chan Thye Choon, 61, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketujuh, Thye Choon didakwa melakukan jenayah itu membabitkan bayaran sewa padang SK Wellesley berjumlah RM15,500 di sebuah bank antara 10 November 2015 sehingga 8 Disember 2016.

Bagi pertuduhan kelapan, tertuduh didakwa melakukan pecah amanah melalui penerimaan empat cek berjumlah RM20,000 daripada Syarikat Visi Nusajaya Sdn Bhd membabitkan bayaran sewa padang antara 19 Januari 2017 sehingga 7 Mac 2017 di sebuah bank di Georgetown.

Semua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun penjara dan sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Thye Choon turut diberi lapan pertuduhan alternatif mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun penjara, dan sebatan, dan boleh juga dikenakan denda.

Ahmad Azhari kemudiannya menetapkan jaminan RM2,500 bagi setiap pertuduhan dan tertuduh perlu melapor diri kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan pada minggu pertama selain menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya SPRM, Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ahmad Azhari menetapkan sebutan semula kes berkenaan pada 28 Februari depan bagi serahan dokumen dan lantikan peguam bagi tertuduh.